Buli: Anak Ako Mustapha dirujuk kepada pakar psikiatri, badan lebam - Utusan Malaysia

Buli: Anak Ako Mustapha dirujuk kepada pakar psikiatri, badan lebam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pelakon, Ako Mustapha mendedahkan anak lelakinya, Mika, 10, kini mengalami trauma yang serius selepas menjadi mangsa buli di sebuah sekolah, sehingga memerlukan rawatan pakar psikiatri bermula bulan ini.

Menurut Ako atau Muhaizad Ahmad Mustapha, 52, anaknya itu dijadualkan menjalani tiga sesi rawatan susulan selepas disahkan mempunyai tanda-tanda trauma hasil pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Mika akan bertemu pakar psikiatri di HKL untuk dua sesi, manakala satu lagi pertemuan adalah bersama pakar daripada Bukit Aman.

“Pertemuan dengan pakar Bukit Aman amat penting kerana mereka mempunyai kepakaran khusus untuk menyoal siasat kanak-kanak. Cara orang dewasa bertanya kadangkala boleh menakutkan lagi mereka,” katanya.

Ako berkata demikian ketika ditemui pada program Talk To My Manager di Auditorium MBSA, Shah Alam, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai keadaan anaknya, Ako memaklumkan dia dan isteri mengambil keputusan untuk tidak menghantar Mika ke sekolah buat sementara waktu memandangkan emosi kanak-kanak itu masih belum stabil.

Jelasnya, mereka kini beralih kepada kaedah pendidikan di rumah (homeschooling) sementara mencari sekolah baharu yang lebih selamat.

“Sebagai bapa, saya mahu dia rasa selamat. Disebabkan trauma ini, dia sering ketakutan.

“Malah setiap malam, dia akan tidur di atas katil bersama kami supaya dia rasa dipantau dan dilindungi,” katanya.

Dalam pada itu, Ako turut mendedahkan fakta menyedihkan apabila doktor yang melakukan pemeriksaan menjumpai kesan lebam pada bahagian belakang badan Mika yang tidak disedari mereka sebelum ini.

Mengenai perkembangan kes, Ako memberitahu Pegawai Penyiasat (IO) memberi bayangan bahawa proses siasatan mungkin mengambil masa sebulan kerana melibatkan ramai pihak.

“Siasatan masih berjalan. IO memaklumkan kes akan mengambil masa kerana bukan sahaja kanak-kanak terlibat yang disiasat, malah ibu bapa, doktor dan guru besar turut dipanggil bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian,” katanya lagi.

Terdahulu, kisah Mika mula mendapat perhatian selepas Ako mendedahkan anaknya itu menjadi mangsa buli sejak setahun lalu.

Sebelum ini, pembuli hanya merosakkan barangan peribadi Mika, namun tahun ini keadaan menjadi lebih buruk sehingga menjejaskan keinginan anaknya untuk ke sekolah.

Pada 23 April lalu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman mengesahkan kertas siasatan membabitkan kejadian itu telah dibuka mengikut prosedur sedia ada. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN