BEIJING: Jumlah korban akibat hujan lebat yang melanda kawasan tengah dan selatan China sejak hujung minggu lalu meningkat kepada 22 orang, dengan 20 lagi dilaporkan masih hilang, menurut media kerajaan pada Rabu.
Cuaca ekstrem dan bencana alam kerap berlaku di China, khususnya pada musim panas apabila sesetengah wilayah dilanda hujan lebat manakala kawasan lain berdepan suhu panas melampau.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, beberapa kawasan di negara itu turut mencatatkan ‘hujan lebat yang memecahkan rekod’, menurut penyiar kerajaan CGTN, sekali gus mencetuskan penutupan sekolah serta penyaluran bantuan kecemasan.
Di wilayah Hunan, lima orang dilaporkan maut dan 11 lagi masih hilang, menurut agensi berita Xinhua.
Laporan sebelum ini menyebut lebih 61,500 penduduk di sebuah daerah di wilayah tersebut terjejas akibat hujan lebat, tanpa butiran lanjut diberikan.
Sementara itu di wilayah selatan Guangxi, 10 orang disahkan maut selepas sebuah lori terjunam ke dalam sungai ketika cuba menyeberang pada Sabtu.
Kematian pertama dalam kejadian itu dilaporkan pada Ahad.
Wilayah Guizhou yang berdekatan turut dilanda hujan lebat, mengakibatkan empat kematian dan lima lagi hilang.
Di utara, wilayah tengah Hubei, tiga orang dilaporkan maut dan empat lagi hilang dalam banjir akibat hujan lebat yang turut meruntuhkan beberapa struktur serta memutuskan komunikasi di beberapa kampung.
Pihak berkuasa kerajaan memperuntukkan 120 juta yuan (RM70 juta) dalam dana bantuan bencana untuk lima wilayah terjejas pada Selasa, menurut laporan Xinhua.
Tambahan 30 juta yuan turut diperuntukkan untuk wilayah Guizhou yang mengalami ‘korban jiwa dan kerugian harta benda’ yang teruk, menurut Xinhua, memetik Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara.
Hampir 24,000 orang dipindahkan di kawasan terjejas di Hunan, Guizhou dan Hubei, menurut kiraan AFP.
Ramalan cuaca menunjukkan kawasan berkenaan dijangka mengalami hujan berterusan dalam beberapa hari akan datang.
Para saintis memberi amaran intensiti dan kekerapan cuaca ekstrem global akan meningkat apabila planet terus memanas akibat pelepasan bahan api fosil.
China merupakan negara pengeluar gas rumah hijau terbesar di dunia, namun pada masa sama ia juga kuasa besar tenaga boleh diperbaharui global yang menyasarkan untuk menjadikan ekonominya neutral karbon menjelang 2060.- AFP









