PETALING JAYA: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli meneruskan rentak konsisten apabila melakar keputusan terbaiknya musim ini selepas melengkap aksi Moto3 di kedudukan ketujuh pada Grand Prix (GP) Motosikal Catalunya di Barcelona, hari ini.
Anak muda yang bernaung di bawah pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu melakar masa 32 minit 29.587 saat (s) untuk membawa pulang sembilan mata dalam perlumbaan 18 pusingan di Litar de Barcelona-Catalunya.
Pelumba CFMOTO Gaviota Aspar Team, Maximo Quiles dari Sepanyol mengungguli perlumbaan dengan catatan masa terpantas 32:28.964s dan keputusan itu semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai pendahulu keseluruhan Moto3 dengan 140 mata.
Muncul selaku naib juara, pelumba Red Bull KTM Ajo, Alvaro Carpe (32:29.058s), manakala, David Munoz dari pasukan Luqui Moly Dynavolt Intact GP berada di tempat ketiga (32:29.062s).
Kedudukan ketujuh yang dilakar Hakim Danish dalam perlumbaan pusingan keenam itu telah melonjakkan anak jati Terengganu tersebut di tangga ke-11 dalam senarai keseluruhan pelumba Moto3 selepas mengumpul 27 mata.
Prestasi yang dipamerkan Hakim Danish di Barcelona, menunjukkan peningkatan ketara sejak pelumba muda berbakat besar itu bergelar pesaing tetap dalam Moto3.
Sejak musim 2026 membuka tirai, Mac lalu, hanya GP Thailand gagal menjelmakan mata buat Hakim Danish dan bermula saingan di Brazil yang merupakan pusingan kedua, pelumba berusia 18 tahun itu terus konsisten mengutip mata.
Dengan sasaran satu podium diletakkan SIC Racing buat Hakim Danish musim ini, pelumba itu menunjukkan potensi untuk berbuat demikian di Barcelona apabila beberapa kali dia berada di kedudukan kedua dan ketiga.
Cuma masanya belum tiba, jika prestasi baik di Barcelona berjaya dikekalkan, maka, tidak mustahil Hakim Danish mampu mencatat keputusan podium dalam perlumbaan akan datang. – UTUSAN










