Draf pindaan Akta Mara dibentang tiga minggu lagi

Draf pindaan Akta Mara dibentang tiga minggu lagi

AHMAD Zahid Hamidi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Draf pindaan Akta Majlis Amanah Rakyat (Mara) 1966 akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh tiga minggu akan datang. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan lebih awal itu berikutan akta tersebut telah tersedia sekali gus membolehkan ia dibentang lebih awal daripada tempoh tiga bulan yang ditetapkan Perdana Menteri. 

“Dengan dukungan semua, dengan sokongan dan persiapan dari Pengerusi Mara atau Pengarah Mara, saya akan buktikan bahawa saya sendiri akan membentangkan Akta Mara yang baharu ini dalam tempoh tiga minggu daripada hari ini.

“Saya bukan riak, Akta Mara telah siap sedia untuk dibentangkan. Ertinya kita efisien, ertinya kita bukan generasi seperti sebelum merdeka. Kita anak pasca merdeka, apabila tanggungjawab diberikan, insya-Allah kita akan buktikan dalam tempoh 40 tahun akan datang, Mara akan lebih cemerlang apabila ditubuhkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam  Perhimpunan Kami Gen Mara di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan draf pindaan Mara 1966 diserahkan kepadanya dalam tempoh tiga bulan. 

Katanya, pindaan akta itu adalah selaras dengan tujuh tujahan dalam Gagasan 40 Tahun Mara yang dirangka sebagai pelan memastikan institusi itu muncul sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi bumiputera yang lebih inklusif, berdaya saing serta mampu menembusi pasaran global.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut berkata, akta baharu itu merupakan kesinambungan kepada akta yang diperkenalkan pada 1969 namun ditambah baik sebagai persediaan jangka panjang sehingga 100 tahun akan datang.

Katanya, penubuhan Mara tidak dapat dipisahkan daripada Kongres Ekonomi Bumiputera serta peranan UMNO dalam memperkasa ekonomi bumiputera.

“Akta ini bukan sekadar pindaan biasa tetapi satu persediaan untuk mendepani cabaran masa depan termasuk perubahan teknologi dan keperluan semasa,” katanya.

Katanya lagi, pindaan tersebut akan memberi penekanan kepada aspek tadbir urus meliputi pengurusan, pembiayaan, pelaksanaan serta pembangunan ekosistem pendidikan dan keusahawanan.

“Peranan Mara juga perlu diperluas agar terus relevan kepada bumiputera di luar bandar dan bandar, selaras dengan perubahan demografi negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN