TUMPAT: Pasukan Gerakan Am (PGA) mematahkan cubaan menyeludup peranti internet satelit ke negara jiran dalam satu operasi bersepadu di pangkalan haram Tualang, Pengkalan Kubor, di sini semalam.
Dalam operasi kira-kira pukul 10.30 pagi itu, sepasukan Strike Force Kompeni B Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Cawangan Pengkalan Kubor merampas pelbagai barangan elektronik yang dipercayai untuk diseludup ke Thailand.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, semasa tinjauan dijalankan, anggota operasi terserempak dengan seorang lelaki yang sedang memunggah kotak ke dalam sebuah perahu di tebing pangkalan haram berkenaan.
“Suspek yang menyedari kehadiran pihak berkuasa melarikan diri dengan terjun ke dalam Sungai Golok sebelum berenang ke arah tebing Thailand dan gagal dikesan. Pemeriksaan lanjut ke atas perahu tersebut menemukan sebanyak 21 kotak peranti internet satelit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Radzi berkata, semua barangan bersama sebuah perahu dan enjin jenis Honda GX390 dirampas untuk tindakan lanjut.
“Semua barangan rampasan yang dianggarkan bernilai RM102,000 dibawa ke Komtak PGA Pengkalan Kubor bagi tujuan dokumentasi. Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan telah dirujuk kepada pihak JKDM untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN








