BOURNEMOUTH: Bournemouth melonjak ke tangga keenam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas membenam Crystal Palace 3-0, hari ini dalam aksi di Stadium Vitality sekali gus menghidupkan peluang ke pentas Eropah musim depan.
Pasukan kendalian Andoni Iraola itu memulakan langkah garang apabila mendahului seawal minit ke-10 menerusi jaringan sendiri Jefferson Lerma hasil situasi sepakan penjuru.
Kelebihan itu digandakan sebelum rehat apabila Eli Junior Kroupi tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk gol ke-12 liga musim ini.
Bersambung babak kedua, Bournemouth terus menguasai permainan sebelum Rayan melengkapkan kemenangan dengan jaringan ketiga pada minit ke-77.
Kemenangan itu meletakkan Bournemouth satu mata di depan Brentford dalam perebutan kelompok enam teratas yang menawarkan tiket ke Liga Europa.
Malah, kedudukan keenam juga berpotensi membuka laluan ke Liga Juara-Juara bergantung kepada keputusan Aston Villa dalam kempen Eropah musim ini.
Iraola yang dijangka meninggalkan kelab hujung musim ini terus mencipta impak besar apabila skuadnya kini tanpa kalah dalam 15 perlawanan termasuk menewaskan Arsenal dan Liverpool.
Sementara itu, Palace yang tampil hambar akan mengalihkan fokus kepada aksi separuh akhir kedua Liga Konferens Eropah menentang Shakhtar Donetsk dengan kelebihan agregat 3-1. – AGENSI










