JOHOR BAHRU: Seorang bekas Pengurus Ladang Konsortium Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) di Segamat didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana menggunakan dokumen yang mengandungi maklumat palsu mengenai gaji pekerja.
Hakim, Mohd. Azhar Othman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohamad Haniff Omar, 43, membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan pilihan dibacakan terhadapnya.
Mengikut kertas pertuduhan pilihan, lelaki itu didakwa telah menggunakan dokumen iaitu Baucer Bayaran Gaji Pekerja Bagi Bulan November 2020 sehingga Januari 2023 yang diketahui mempunyai butir matan palsu berkenaan pembayaran gaji seorang lelaki berusia 50 tahun yang berjumlah RM23,258 di Pertubuhan Peladang Negeri Johor, Ladang Konsortium PPNJ/ Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Segamat, antara November 2020 hingga Januari 2023.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Alice Voon Mei Ling, manakala tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork.
Pada 15 Oktober 2024, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan utama iaitu menggunakan Baucer Bayaran Gaji Pekerja Bagi Bulan November 2020 sehingga Januari 2023 untuk memperdayakan prinsipalnya iaitu Ketua Bahagian Perladangan Pertubuhan Peladang Negeri Johor.
Prinsipal itu mempunyai kepentingan mengenainya dan tertuduh mempunyai sebab untuk percaya bahawa dokumen terbabit mempunyai butir matan palsu berkenaan pembayaran gaji seorang lelaki berjumlah RM 23,258 yang mana lelaki itu tidak bekerja di Ladang Konsortium PPNJ/PPK Segamat.
Perbuatan yang didakwa dilakukan untuk mengelirukan prinsipalnya itu dibuat di Pertubuhan Peladang Negeri Johor, Ladang Konsortium PPNJ/PPK Segamat, antara November 2020 hingga Januari 2023.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu jika butir matan yang palsu itu dapat dinilai atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.










