MADRID: Atletico Madrid mengukuhkan kedudukan di tangga keempat La Liga selepas menewaskan Osasuna 2-1 dalam aksi liga, semalam.
Penyerang England, Ademola Lookman membuka jaringan buat Atletico menerusi sepakan penalti pada minit ke-15 selepas bola terkena tangan pemain Osasuna, Javi Galan di dalam kotak penalti.
Skuad bimbingan Diego Simeone menggandakan jaringan menerusi tandukan Alexander Sorloth pada minit ke-70 untuk meletakkan tuan rumah selesa di depan.
Bagaimanapun, Atletico terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Marcos Llorente dilayangkan kad merah susulan dua terjahan keras.
Osasuna cuba bangkit pada penghujung permainan apabila Kike Barja menjaringkan gol pada masa kecederaan, namun ia sudah terlambat untuk menghalang kemenangan Atletico.
Keputusan itu menyaksikan Atletico kekal di tangga keempat dengan 66 mata, di belakang juara, Barcelona yang mengumpul 91 mata, diikuti Real Madrid (77 mata) dan Villarreal (69 mata). Ketiga-tiga pasukan itu masih memiliki satu perlawanan dalam tangan.
Sementara itu, Real Betis mengesahkan tiket ke Liga Juara-Juara musim depan selepas menewaskan Elche 2-1.
Kemenangan tersebut memastikan Betis sekurang-kurangnya menamatkan saingan di tangga kelima liga dengan 57 mata, tujuh mata di depan Celta Vigo di kedudukan keenam.
Ia juga menjadi penampilan pertama Betis dalam saingan elit Eropah itu sejak musim 2005/2006. – AFP










