Arteta puji penyokong Arsenal

Arteta puji penyokong Arsenal

Mikel Arteta - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pengurus Mikel Arteta memuji peranan besar penyokong Arsenal yang disifatkannya menjadi satu standard selepas kelab itu melangkah ke final Liga Juara-Juara dengan kemenangan agregat 2-1 ke atas Atletico Madrid, semalam.

Pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Emirates, Arsenal meraih kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan Bukayo Saka pada separuh masa pertama.

Kejayaan itu menyaksikan The Gunners menempah tiket ke pentas final buat kali kedua dalam sejarah kelab, selepas kali terakhir beraksi pada 2006.

Mereka dijadual bertemu sama ada Paris Saint-Germain atau Bayern Munich di Budapest, hujung bulan ini.

Menurut Arteta, suasana luar biasa yang dipamerkan penyokong di stadium menjadi pemangkin utama kebangkitan pasukannya.

“Ia malam yang cukup menakjubkan. Untuk berkongsi detik seperti ini bersama penyokong, pemain dan seluruh warga kelab adalah satu perasaan yang sukar digambarkan.

“Sokongan yang diberikan sejak awal, termasuk cara mereka menunggu ketibaan pasukan, tenaga serta semangat yang dipamerkan benar-benar luar biasa,” katanya.

Tambah pengendali Sepanyol itu, para pemainnya berjaya menyerap aura positif daripada penyokong sehingga membantu mereka menampilkan aksi bertenaga.

“Saya percaya penyokong menetapkan standard dan kami cuba menyaingi tahap itu. Selepas sekian lama, kami akhirnya dapat menghadiahkan kegembiraan kepada mereka dan melihat rasa bangga itu jelas terpancar,” katanya.

Dalam pada itu, Arteta turut menzahirkan rasa bangga terhadap semangat berpasukan yang ditunjukkan anak buahnya, meskipun ada pemain terpaksa diketepikan dalam kesebelasan utama.

“Saya tahu mereka semua pemain yang baik, bukan sahaja di atas padang tetapi juga dari segi peribadi. Walaupun ada yang tidak diturunkan, mereka tetap memberi sokongan penuh kepada pasukan,” katanya.

Mengulas jaringan kemenangan, Arteta menyifatkan Saka sebagai individu paling layak muncul wira berdasarkan sumbangan besarnya kepada kelab sejak beberapa musim lalu.

Sementara itu, pengendali Atletico, Diego Simeone mengakui keunggulan lawan dan enggan menjadikan kekalahan sebagai alasan.

“Jika kami tersingkir, itu bermakna lawan lebih layak. Mereka memanfaatkan peluang terbaik yang ada dan kami tidak cukup tajam.

“Kami sudah berusaha sebaik mungkin dan kini perlu menerima keputusan ini dengan hati terbuka,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN