Arteta nikmati sambutan trofi Arsenal

Arteta nikmati sambutan trofi Arsenal

PEMAIN Arsenal meraikan kejayaan mereka menjulang trofi Liga Perdana Inggeris musim ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menyifatkan kejayaan menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini sebagai detik paling bermakna selepas penantian panjang selama 22 tahun.

Menurut Arteta, semangat juang, keberanian dan kesatuan dalam pasukan menjadi kunci utama kejayaan Arsenal menamatkan dominasi Manchester City.

“Kami melalui pelbagai detik sukar sepanjang musim ini, namun pemain tetap menunjukkan komitmen luar biasa untuk terus berjuang.

“Apabila melihat kegembiraan penyokong selepas perlawanan, semuanya terasa sangat berbaloi,” katanya.

Arsenal mengesahkan kejuaraan liga selepas City sekadar seri dengan Bournemouth minggu lalu sebelum menewaskan Crystal Palace 2-1 di Selhurst Park, semalam.

Dua gol The Gunners dijaringkan oleh Gabriel Jesus dan Noni Madueke untuk memastikan kemenangan ke-26 liga musim ini.

Kapten pasukan, Martin Odegaard kemudiannya menjulang trofi EPL di hadapan ribuan penyokong Arsenal yang membanjiri stadium dalam suasana penuh emosi.

Arteta mengakui dia pernah meragui kemampuan sendiri selepas Arsenal beberapa kali gagal mempertahankan kedudukan di puncak liga dalam musim-musim terdahulu.

“Terdapat saat saya tertanya-tanya sama ada saya orang yang tepat untuk membawa kelab ini menjuarai liga.

“Namun sokongan pemain, pihak pengurusan dan pemilik kelab memberikan keyakinan untuk terus percaya,” katanya.

Arteta turut memuji pemilik Arsenal, Stan Kroenke yang disifatkan sentiasa memberikan sokongan penuh sepanjang proses pembangunan semula pasukan.

Dalam pada itu, Arsenal kini berpeluang melengkapkan musim bersejarah mereka apabila bakal berdepan Paris Saint-Germain pada final Liga Juara-Juara di Budapest, 30 Mei ini. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN