JEDDAH: Suhu di Mekah yang mencecah 45 darjah Celsius minggu ini menyaksikan petugas kesihatan Arab Saudi semakin bergantung kepada penggunaan dron bagi menghantar bekalan perubatan ke klinik-klinik yang merawat jemaah haji mengalami tekanan haba.
Ibadah haji yang berlangsung sejak berabad-abad lalu kini turut melalui perubahan ketara apabila teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI), kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) dan aplikasi mudah alih digunakan secara meluas untuk menyokong operasi serta pengurusan jemaah.
Penggunaan dron khususnya dilihat sebagai penyelesaian kepada kesesakan jalan raya yang dipenuhi lebih 1.5 juta jemaah, sekali gus membantu memastikan 127 klinik di Mekah, Mina dan Arafah menerima bekalan perubatan tepat pada masanya.
“Matlamat utama adalah untuk memberikan perkhidmatan pantas kepada tetamu Allah sepanjang musim ini,” kata Ketua Pegawai Operasi Syarikat Perolehan Bersepadu Kebangsaan (NUPCO), Fahd Al-Bathi, kepada AFP.
Persiapan bagi keperluan kesihatan musim haji itu dimulakan sejak sembilan bulan lalu.
Sebelum penggunaan dron, pemandu boleh mengambil masa lebih sejam untuk sampai ke klinik yang kekurangan bekalan.
Kini, pihak berkuasa memusatkan operasi di sebuah pusat besar yang membekalkan ubat-ubatan dan keperluan lain kepada dron.
“Kami berusaha untuk mengintegrasikan inovasi baharu bagi memastikan bekalan perubatan sampai dengan selamat, secepat mungkin dan dalam kualiti terbaik,” kata Fahd.
Di bilik operasi yang dilengkapi skrin data gergasi, kakitangan memantau penghantaran dron dengan teliti, manakala pekerja lain menggunakan skuter elektrik untuk bergerak dengan lebih pantas.
Dron kini menjadi sebahagian daripada rangkaian penyelesaian teknologi yang semakin berkembang bagi membantu pengurusan ibadah haji serta cabaran cuaca panas gurun yang melampau.
AI turut digunakan untuk memantau rakaman daripada ribuan kamera di sekitar kota suci Mekah.
Teknologi baharu ini melengkapi kaedah tradisional dalam menguruskan haba ekstrem, termasuk penggunaan kipas gergasi, trak pengagihan air percuma serta sistem kabus air untuk menyejukkan jemaah.
“Keletihan akibat haba merupakan antara masalah utama semasa musim haji. Kami mengekalkan tahap kesiapsiagaan yang tinggi dan pantas,” kata pegawai kesihatan Arab Saudi, Jamil Abu Al-Aynayn.- AFP










