MELAKA: Kecekalan hidup seorang anak yatim daripada keluarga B40 membesarkan tiga anak sehingga berjaya dalam bidang profesional melayakkan seorang guru besar menerima Anugerah Ibu Inspirasi sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Melaka hari ini.
Menurut A. Parvathy, 55, dia amat bersyukur dan terharu apabila sekali lagi dipilih menerima pengiktirafan tersebut selepas pernah menerima anugerah sempena Hari Ibu pada tahun 2015.
Katanya, pengalaman membesar sebagai anak yatim dalam keluarga besar menjadi kekuatan utama untuk terus berjaya dalam kehidupan dan kerjaya.
“Saya terlalu gembira dan teruja kerana ini kali kedua saya menerima anugerah sempena Hari Ibu.
“Semasa berumur 45 tahun pada 2015, saya menerima anugerah Ibu Mithali dan hari ini sekali lagi menerima Anugerah Ibu Inspirasi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Melaka di Dewan Komuniti Bukit Beruang, di sini hari ini.
Majlis penyampaian anugerah itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin.
Beliau yang berasal dari Melaka dan menetap di Jasin berkata, dirinya merupakan anak bongsu daripada 12 beradik serta kehilangan bapa ketika berusia tujuh tahun.
Katanya, ibunya terpaksa bekerja keras membesarkan mereka adik-beradik dalam keadaan serba kekurangan sehingga menyebabkan sebahagian abang dan kakaknya tidak berpeluang melanjutkan pelajaran.
Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana tujuh adik-beradik yang lain berjaya memperoleh pendidikan tinggi dan kini memegang jawatan penting dalam bidang masing-masing.
Parvathy yang kini bertugas sebagai Guru Besar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Alor Gajah berkata, beliau juga bersyukur kerana berjaya membesarkan tiga cahaya mata yang kini berjaya dalam kerjaya profesional.
“Anak sulung saya merupakan seorang jurutera manakala dua anak perempuan saya kini berkhidmat sebagai doktor perubatan,” katanya.
Selain cemerlang dalam institusi keluarga, beliau turut aktif dalam pelbagai pertubuhan pendidikan dan kemasyarakatan di negeri ini.
Beliau pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak lima kali daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selain memegang jawatan Bendahari Persatuan Majlis Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Malaysia serta Naib Setiausaha Persatuan Hindu Sangam.
Beliau juga merupakan Setiausaha Persatuan Guru Besar Negeri Melaka, Jurulatih Utama Bahasa Melayu Jabatan Pendidikan Negeri Melaka selain aktif sebagai pegawai teknikal olahraga dan kabaddi di peringkat negeri serta kebangsaan.
Selain itu, beliau turut menganggotai beberapa badan pendidikan termasuk PUSTAKAM Negeri Melaka, Persatuan Sains dan Matematik Jabatan Pendidikan Negeri Melaka serta Persatuan Guru Besar Daerah Alor Gajah. – UTUSAN










