Air Space Sandbox di Perlis wujud pelbagai peluang pekerjaan, penyelidikan

Air Space Sandbox di Perlis wujud pelbagai peluang pekerjaan, penyelidikan

HAZRY Desa (kanan) memberi penerangan berkaitan dron ketika Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 baru-baru ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pelaksanaan Air Space Sandbox di Sungai Batu Pahat di sini bakal mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan baharu terutama dalam bidang penyelidikan, pembangunan, pembuatan dan pengendalian dron.

Fasiliti di kawasan seluas kira-kira 30 hektar itu antaranya bakal berfungsi sebagai ruang ujian selamat, terkawal bagi pengujian, pengesahan serta perakuan penerbangan dron altitud rendah jarak jauh (BVLOS), teknologi mobiliti udara generasi baharu dan sistem pengurusan trafik udara tanpa pemandu (UTM).

Menariknya, jika sebelum ini ruang udara di lokasi berkenaan dianggap sekadar laluan kosong di bawah ketinggian 1,000 meter, kini berubah menjadi infrastruktur ekonomi strategik yang berpotensi menjadi nilai tinggi atau dikenali sebagai ekonomi altitud rendah, iaitu satu sektor baharu yang dijangka mengubah landskap pembangunan negara dalam dekad akan datang.

Ketua Pusat Kecemerlangan Pesawat Tanpa Pemandu (COE-UAS), Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Dr. Hazry Desa berkata, lokasi yang bakal menjadi hab penerbangan dron pertama di Malaysia itu turut merangsang pelaburan dalam teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI), perisian pengurusan trafik udara dan infrastruktur vertiport.

Katanya, selain itu, penggunaan dron berasaskan tenaga elektrik itu turut menyokong agenda ekonomi hijau, pengurangan karbon dan pembangunan lestari.

“Dengan akses kepada ekosistem dunia sebenar, golongan belia dan komuniti tempatan juga berpeluang membina perniagaan, kepakaran dan inovasi berpaksikan keperluan industri masa depan melalui kewujudan Air Space Sandbox itu.

“Apa yang lebih penting, ekonomi altitud rendah tersebut bakal mengubah paradigma pembangunan modal insan daripada sekadar pencari kerja kepada pencipta pekerjaan.

“Ke arah itu, peranan pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET) termaju juga amat penting. Hal demikian kerana ekonomi altitud rendah itu memerlukan kemahiran multidisiplin yang merangkumi kejuruteraan, operasi, perisian, keselamatan dan pematuhan peraturan.

“Air Space Sandbox menyediakan persekitaran latihan autentik dan berasaskan realiti industri, sekali gus merapatkan jurang antara pendidikan dan keperluan sebenar industri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Katanya, Sandbox bukan sekadar projek konseptual atau simulasi makmal, sebaliknya merupakan kawasan geografi sebenar yang melibatkan operasi dron di ruang udara rendah pada ketinggian 1,000 meter dan ke bawah.

Beliau berkata, kejayaan model Air Space Sandbox di Perlis itu berpontensi menjadi bukti awal projek berkenaan di peringkat nasional.

“Apa yang diuji, disahkan dan diperkemas di Sungai Batu Pahat itu boleh diskalakan ke negeri-negeri lain secara berperingkat. Melalui pendekatan ini, risiko dapat dikurangkan, pelaburan dapat dioptimumkan dan keyakinan pengawal selia dapat diperkukuh.

“Sandbox menjadi pemecut inovasi, bukannya penghalang kepada pembangunan. Air Space Sandbox Perlis meletakkan ia sebagai pintu masuk Malaysia ke industri masa hadapan dan jika dimanfaatkan sepenuhnya ia bukan sahaja akan mengubah landskap ekonomi negeri, malah menyumbang kepada daya saing negara dalam dekad akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN