PETALING JAYA: Ajaran Ahmadiah atau Qadiani difatwakan terkeluar daripada ajaran Islam oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sejak tahun 2004, dan masyarakat diminta menjauhi sebarang bentuk fahaman yang boleh menggugat kesucian akidah.
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai video tular di media sosial baru-baru ini berkaitan kegiatan ajaran Ahmadiah atau Qadiani di Wilayah Persekutuan.
Katanya, umat Islam perlu sentiasa memelihara kesucian akidah diri dan ahli keluarga berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah daripada ancaman pemikiran sesat termasuk ajaran Ahmadiah atau Qadiani yang dibawa oleh Mirza Ghulam Ahmad.
“Meskipun ajaran itu dibawa dengan penjenamaan baharu, ia tetap dianggap sesat kerana mendakwa masih wujud nabi selepas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
“Sehubungan itu, masyarakat hendaklah menjauhi sebarang bentuk fahaman ekstrem yang boleh menggugat kesucian akidah, di samping memastikan institusi keluarga diperkukuhkan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sahih.
“Lengkapkan diri dengan ilmu agama yang benar serta sentiasa merujuk kepada pihak berautoriti, para alim ulama dan institusi agama yang diiktiraf agar keimanan sentiasa berada di landasan yang diredai Allah SWT,” katanya dalam kenyataan hari ini.
JAWI berkata, sebagai agensi yang bertanggungjawab mengurus dan menyelaras hal ehwal Islam di Wilayah Persekutuan, pihaknya sentiasa prihatin terhadap isu semasa melibatkan umat Islam.
“JAWI akan terus komited dalam agenda memperkasakan akidah umat Islam di Wilayah Persekutuan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, tular di media sosial sebuah video berkaitan dakwaan kegiatan ajaran Ahmadiah atau Qadiani di Wilayah Persekutuan.
Ia dipercayai merujuk kepada hantaran di Facebook Keranda Ghulat yang mendakwa ajaran Qadiani tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa agama.
Menurut hantaran itu, kumpulan berkenaan didakwa mengadakan perhimpunan tahunan dikenali sebagai Jalsa Salana secara terbuka di Ulu Yam, Selangor selain mendakwa gerakan tersebut semakin berkembang di negara ini. – UTUSAN










