3.3 juta kenderaan dijangka guna lebuh raya sempena Aidiladha

3.3 juta kenderaan dijangka guna lebuh raya sempena Aidiladha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan jumlah purata trafik harian di lebuh raya utama dan lebuh raya sambungan mencecah sehingga 3.3 juta kenderaan pada hari puncak sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Ketua Pengarah LLM, Ir. Mohd. Hadzmir Yusoff berkata, peningkatan jumlah kenderaan itu dijangka berlaku secara berperingkat bermula hari ini hingga 7 Jun ini susulan perayaan Aidiladha yang turut bertembung dengan cuti umum dan cuti persekolahan.

Katanya, antara lebuh raya yang dijangka mencatatkan jumlah trafik tinggi ialah Lebuh Raya Kumpulan PLUS dengan unjuran 2.2 juta kenderaan, diikuti Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) sebanyak 283,000 kenderaan.

“Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) pula dijangka mencatatkan 209,000 kenderaan, Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) sebanyak 151,000 kenderaan dan Lebuhraya Kajang-Seremban (Lelas) sebanyak 137,000 kenderaan.

“Selain itu, Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) dijangka merekodkan 125,000 kenderaan, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) sebanyak 106,000 kenderaan dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) sebanyak 50,000 kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi memastikan perjalanan pengguna lebih selamat dan lancar sepanjang tempoh perayaan, Mohd. Hadzmir berkata, LLM mengarahkan semua syarikat konsesi lebuh raya melaksanakan beberapa langkah proaktif.

Katanya, tiada penutupan lorong kecuali bagi kerja kecemasan bermula 23 Mei hingga 2 Jun ini serta pengaktifan 34 lokasi Smart Lane termasuk di Lebuh Raya Kumpulan PLUS.

Beliau berkata, LLM turut memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik selain pelaksanaan kutipan tol berlapis di plaza tol kritikal.

“Pemeriksaan operasi lebuh raya dan kemudahan di kawasan rehat dan rawat (R&R) serta hentian sebelah turut dilaksanakan.

“Sebanyak 65 tandas mudah alih serta bekalan air mencukupi juga disediakan, selain penambahan parkir dan petugas termasuk anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia di kawasan R&R,” katanya.

Pada masa sama, LLM menasihatkan pengguna supaya merancang perjalanan menerusi aplikasi TuJu dan Panduan Waktu Perjalanan atau Travel Time Advisory (TTA). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN