Remaja Rohingya ditemukan maut, dipercayai dibunuh di tapak pembinaan - Utusan Malaysia

Remaja Rohingya ditemukan maut, dipercayai dibunuh di tapak pembinaan

LOKASI kejadian seorang remaja etnik Rohingya dijumpai maut di Taman Desa Kujid, Kampung Panji dekat Kota Bharu, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang remaja lelaki etnik Rohingya berusia 18 tahun ditemukan maut dengan kecederaan pada leher, dipercayai dibunuh menggunakan objek tajam berhampiran bangsal sebuah rumah yang dalam pembinaan di Taman Desa Kujid, Kampung Panji, di sini, malam tadi.

Mangsa ditemukan di kawasan berkenaan selepas kejadian kira-kira pukul 10.30 malam.

Seorang penduduk Kampung Panji, Najib Ahmad, 50, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu kira-kira pukul 7 pagi tadi selepas dimaklumkan jemaah surau di kampung berkenaan.

Katanya, rata-rata penduduk tidak mengetahui kejadian tersebut kerana tidak terdengar sebarang bunyi bising atau melihat kenderaan polis melalui kawasan berkenaan.

“Saya pergi ke kawasan pembinaan rumah itu sebelum mendapati lokasi tersebut sudah dipasang garisan polis.

“Keadaan di tapak pembinaan rumah itu juga sunyi tanpa sebarang pergerakan pekerja. Sebelum ini, penduduk ada melihat empat orang lelaki bekerja di kawasan tersebut,” katanya ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Najib memberitahu, rumah berkenaan sudah kira-kira tiga bulan dibina dan pekerjanya terdiri daripada warga asing.

Katanya, difahamkan polis sedang mencari rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan, namun usaha itu berdepan kesukaran kerana kebanyakan rumah di kawasan tersebut tidak dipasang CCTV.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Damir ketika dihubungi berkata, kes tersebut masih dalam siasatan dan tindakan pihak polis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×