SUMATERA SELATAN: Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dan empat lagi cedera selepas sebuah bas penumpang bertembung secara berdepan dengan lori tangki bahan api di Lebuhraya Trans-Sumatera semalam, menurut pihak berkuasa tempatan.
Kemalangan berlaku sekitar tengah hari di daerah Musi Rawas Utara apabila bas antara bandar yang membawa sekurang-kurangnya 20 penumpang dalam perjalanan dari Lubuklinggau ke Jambi merempuh sebuah lori tangki yang datang dari arah bertentangan, kata pegawai agensi pengurusan bencana, Mugono.
Menurut Mugono, siasatan awal mendapati bas tersebut dipercayai mengeluarkan percikan api sejurus sebelum kejadian, menyebabkan pemandu cuba mengelak dengan membelok ke kanan jalan.
Namun, sebuah lori tangki minyak yang sedang bergerak laju dari arah bertentangan tidak sempat mengelak, lalu berlaku perlanggaran kuat antara kedua-dua kenderaan.
“Perlanggaran itu mencetuskan kebakaran besar yang membakar kedua-dua kenderaan dan menyebabkan ramai mangsa terperangkap,” katanya.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Mangsa yang terkorban termasuk pemandu bas dan 13 penumpang, serta pemandu lori tangki dan pembantunya, yang kesemuanya rentung di dalam kenderaan, kata Mugono.
Beliau berkata, empat penumpang bas terselamat dalam kemalangan itu dan telah dibawa ke klinik kesihatan berhampiran, termasuk tiga yang mengalami lecur teruk dan seorang lagi cedera ringan.
Memandangkan senarai penumpang masih dalam proses pengesahan, Mugono berkata pihak berkuasa masih mengumpul data bagi menentukan jumlah sebenar korban.
Gambar dan video yang dikeluarkan Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan menunjukkan anggota bomba bergelut memadamkan kebakaran, dengan kepulan asap hitam tebal dan api berwarna jingga menjulang ke udara.
Di lokasi, kelihatan rangka bas dan lori tangki yang hangus, dengan besi-besi terpelintir bertaburan di lebuh raya.
Pasukan penyelamat termasuk pegawai bencana dan polis trafik telah mengeluarkan mangsa serta membersihkan serpihan, namun beberapa mangsa dilaporkan tersepit di dalam kenderaan, sekali gus menyukarkan operasi menyelamat dan menyebabkan gangguan lalu lintas di lebuh raya tersebut, kata Margono.
Kemalangan jalan raya kerap berlaku di Indonesia akibat standard keselamatan yang rendah serta keadaan infrastruktur yang kurang baik.
Minggu lalu, sebuah kereta api jarak jauh merempuh sebuah kereta api komuter yang sedang berhenti berhampiran sebuah stesen di luar ibu kota Jakarta, selepas melanggar sebuah teksi yang rosak dan terhenti di tengah landasan.
Perlanggaran itu mengorbankan sekurang-kurangnya 16 orang, kesemuanya wanita, yang berada di gerabak belakang yang dikhaskan untuk penumpang wanita.- AP










