Wanita diriba pemandu bas ekspres tular, JPJ siasat

Wanita diriba pemandu bas ekspres tular, JPJ siasat

TANGKAP layar video menunjukkan seorang wanita 'memandu' sebuah bas ekspres sambil diriba oleh seorang lelaki yang tular di media sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan seorang pemandu bas ekspres membiarkan seorang wanita duduk di atas ribanya ketika memandu mencetuskan kemarahan ramai selepas rakaman video kejadian itu tular di media sosial baru-baru ini.

Dalam klip video itu yang dipercayai dirakam penumpang bas, wanita terbabit dilihat memegang stereng sambil duduk di atas riba pemandu ketika bas berkenaan sedang bergerak.

Dalam video berasingan yang tular juga dipercayai dirakam melalui kamera pemuka oleh kenderaan yang mengekori menunjukkan bas itu sedang bergerak dalam trafik.

Berdasarkan catatan di Facebook, bas ekspres itu dipercayai dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Kulai, Johor ketika kejadian dirakam.

Sementara itu Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) sudah membuka kertas siasatan berhubung video tular yang menunjukkan seorang pemandu bas ekspres didakwa mengendalikan kenderaan itu dengan seorang wanita duduk di atas ribanya.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata tindakan segera sudah diambil oleh pihaknya selepas video terbabit tular.

“Siasatan dijalankan serta-merta susulan video yang tular itu. Pemandu yang dimaksudkan dan syarikat bas yang terbabit sudah dikenal pasti. Pemandunya sudah dipanggil untuk direkodkan keterangan pagi ini,” katanya.

Katanya sebaik siasatan selesai kes itu akan dirujuk kepada Ketua Pengarah JPJ untuk arahan lanjut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pejabat JPJ berhampiran bagi membantu siasatan.

“Semua pengguna jalan raya khususnya pengusaha kenderaan komersial diingatkan supaya mematuhi undang-undang jalan raya pada setiap masa.

“Ini penting bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya dan mengelak kejadian yang boleh membahayakan nyawa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN