Undav 'penyelamat' maruah Jerman

Undav ‘penyelamat’ maruah Jerman

UNDAV yang namanya berulang kali dilaungkan penyokong-penyokong di stadium, memastikan Jerman mencatat kemenangan apabila dia meledak gol kemenangan pada minit ke-88.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

STUTTGART: Ledakan Deniz Undav pada penghujung perlawanan memastikan Jerman menutup aksi persahabatan dengan kemenangan 2-1 ke atas Ghana dalam aksi di Stuttgart, semalam.

Pada aksi itu, skuad kendalian Julian Nagelsmann menguasai sebahagian besar perlawanan, namun ketumpulan jentera serangan menyaksikan mereka bergelut untuk menembusi benteng pertahanan lawan.

Jerman memecah kebuntuan sebelum tamat babak pertama menerusi sepakan penalti Kai Havertz, namun Ghana tampil lebih berani pada babak kedua dan berjaya mengucar-ngacirkan pertahanan Jerman.

Usaha keras Ghana, akhirnya menghadirkan gol penyamaan pada minit ke-70 menerusi jaringan Abdul Fatawu namun kemasukan pemain gantian, Undav yang namanya berulang kali dilaungkan penyokong-penyokong di stadium, memastikan Jerman mencatat kemenangan apabila dia meledak gol kemenangan pada minit ke-88.

Undav meluahkan rasa terharu dengan sokongan padu penyokong, sambil menyifatkan malam tersebut sebagai detik yang cukup istimewa dalam kariernya.

“Ia sesuatu yang luar biasa mendengar bagaimana penyokong memberi sokongan kepada saya. 

“Ia satu malam yang sempurna. Kami menang, saya jaringkan gol. Kami mengawal sepenuhnya permainan pada babak pertama, tetapi perlu memanfaatkan peluang dengan lebih baik,” kata Undav.

Sementara itu, Nagelsmann menegaskan anak buahnya perlu memperkemaskan disiplin taktikal, terutama dalam mengekang serangan balas lawan, meskipun kemenangan tersebut merupakan yang ketujuh berturut-turut buat Jerman dalam semua aksi.

“Kami tidak bermain mengikut posisi. Terlalu banyak aksi bebas seperti ketika menentang Switzerland, yang menyebabkan kami terdedah kepada serangan balas,” ujarnya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN