TEL AVIV: Tentera Israel mendakwa pertahanan udaranya bertindak balas terhadap tiga gelombang serangan roket Iran awal Khamis, dengan media melaporkan beberapa kecederaan di kawasan Tel Aviv.
Serangan ketiga dilaporkan berlaku sejurus selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyampaikan ucapan kepada rakyat Amerika mengenai perang di Asia Barat.
Selepas serangan pertama, polis memaklumkan pegawai dipanggil ke ‘beberapa’ lokasi impak di tengah Israel, dengan laporan media menyatakan jumlahnya sembilan.
Empat orang dilaporkan mengalami kecederaan ringan, menurut laporan yang memetik petugas perubatan.
Media Israel menyalahkan penggunaan peluru berpandu berangkai(cluster munitions) atas kerosakan yang meluas di kawasan itu, di mana peluru berpandu jenis trsebut meletup di udara dan menyebarkan bom kecil.
Iran dan Israel sebelum ini saling menuduh menggunakan bom berangkai.
Dalam tempoh lebih tiga jam selepas serangan pertama, tentera mengumumkan mereka sekali lagi ‘mengesan peluru berpandu dilancarkan dari Iran ke wilayah Israel’, mencetuskan siren serangan udara di banyak bahagian utara dan tengah Israel.
Komando Barisan Dalam Negeri tentera kemudian memaklumkan penduduk ‘dibenarkan keluar dari ruang perlindungan di semua kawasan negara’.
Tiada laporan segera mengenai kemalangan atau kerosakan akibat serangan kedua dan ketiga yang dilaporkan.
Semalam, ketika orang Yahudi Israel bersiap untuk menyambut cuti Paskah, perkhidmatan kecemasan memaklumkan serangan roket Iran mencederakan 14 orang, termasuk seorang gadis berusia 11 tahun.- AFP










