WASHINGTON: Juara bertahan, Jessica Pegula mengharungi perlawanan dramatik lebih tiga jam sebelum melangkah ke pusingan 16 Terbuka Charleston dengan kemenangan getir ke atas Yulia Putintseva, semalam
Pemain No.5 dunia itu bangkit daripada ketinggalan sebelum menundukkan Putintseva 4-6, 6-4, 7-5 dalam aksi penuh emosi di gelanggang tanah liat hijau.
Pegula mengakui keadaan berangin dan faktor bayang-bayang memberi cabaran besar sepanjang perlawanan tersebut.
“Semua yang saya fikirkan hanyalah, selamat datang ke musim gelanggang tanah liat.
“Saya rasa dia lawan yang sangat licik, terutama di gelanggang tanah liat dengan variasi pukulan tinggi, rendah, slice dan drop shot yang benar-benar menguji saya,” kata Pegula.
Kemenangan itu lebih bermakna apabila Pegula bangkit selepas ketinggalan 0-2 dalam set penentuan sebelum mempamerkan ketahanan mental untuk menamatkan saingan.
Malah, dia hampir terlepas peluang apabila dipecahkan ketika mendahului 5-4 sebelum bangkit semula untuk mengesahkan kemenangan penuh dramatik.
Dalam perkembangan sama, pilihan kedua Ekaterina Alexandrova menarik diri akibat kecederaan, sekali gus membuka ruang kepada pemain Georgia, Ekaterine Gorgodze, untuk mengisi kekosongan dalam undian kejohanan. – AGENSI










