MIAMI: Pemain tenis No.1 dunia, Aryna Sabalenka meneruskan dominasi awal musim apabila menjuarai Terbuka Miami buat kali kedua berturut-turut selepas menewaskan Coco Gauff 6-2, 4-6, 6-3, semalam.
Kejayaan itu sekali gus melengkapkan ‘Sunshine Double’ buat Sabalenka selepas turut menjuarai kejohanan Terbuka Indian Wells, menjadikannya antara kelompok elit yang pernah menguasai dua kejohanan gelanggang keras terbesar awal musim.
Pemain Belarus itu kini menyertai nama-nama besar seperti Iga Swiatek, Steffi Graf, Kim Clijsters dan Victoria Azarenka yang pernah mencapai pencapaian sama dalam satu musim.
Sabalenka mempamerkan aksi bertenaga pada set pertama apabila mematahkan servis lawan dua kali sebelum menutup set tersebut dalam tempoh hanya 37 minit tanpa memberi sebarang peluang break point.
Namun Gauff bangkit pada set kedua dengan permainan lebih agresif, termasuk memanfaatkan kesilapan lawan untuk memecah servis dan mengheret perlawanan ke set penentuan di hadapan penyokong sendiri di Hard Rock Stadium.
“Ia sangat bermakna. Matlamat saya sentiasa untuk meletakkan nama dalam sejarah dan saya berjaya melakukannya,” kata Sabalenka.
Memasuki set ketiga, Sabalenka kembali menguasai permainan dengan memecah servis seawal permainan pertama sebelum menamatkan cabaran Gauff menerusi pukulan kemas pada mata kejuaraan.
“Saya rasa saya masih belum mencapai tahap terbaik, jadi ia memberi sedikit keyakinan apabila masih mampu meraih keputusan baik dalam kejohanan seperti ini,” kata Gauff. – AGENSI/UTUSAN










