PASIR PUTEH: Selepas tujuh tahun terbengkalai, penduduk di Kampung Gong Chapa di sini menarik nafas lega apabila pembinaan Masjid Al-Quddus siapa sepenuhnya tahun depan selepas menerima peruntukan RM4 juta dari Kerajaan Persekutuan.
Imamnya, Mohd. Adnan Ghani berkata, pembinaan masjid itu tertangguh pada 2019 selepas kontraktor yang dilantik gagal menyiapkan kerja-kerja mengikut jadual.
Katanya, bagaimanapun Jawatankuasa Pembangunan Masjid Masjid Al Quddus bersetuju melantik kontrak baharu pada 1 Jun 2025 bagi menyambung semula kerja-kerja pembinaan selepas menerima peruntukan tersebut.
“Terima kasih Perdana Menteri kerana cakna dengan masalah yang kami hadapi ketika ini. Alhamdulillah apabila siap nanti, masjid ini mampu menampung 1,000 jemaah dalam satu-satu masa,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mohd. Adnan memberitahu, fasa pertama yang merangkumi pembinaan ruang solat utama masjid , tandas, stor, bilik jenazah dan rumah imam sudah siap menggunakan peruntukan tersebut.
“Fasa kedua pula melibatkan pembinaan dewan serbaguna serta landskap dijangka siap sepenuhnya 31 Mei tahun depan,” ujarnya. – UTUSAN










