KUALA TERENGGANU: Keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menganjurkan temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2026 dalam skala lebih kecil tidak menjejaskan semangat dan kesiapsiagaan kontinjen Terengganu untuk memburu kejuaraan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, persiapan kontinjen ‘Hanelang’ dilaksanakan lebih awal mengikut perancangan asal dan kekal diteruskan walaupun terdapat perubahan pada skop penganjuran serta senarai sukan dipertandingkan.
“Sebenarnya, dari awal lagi kita bersedia berdepan Sukma dalam skala asal, jadi persediaan kita dibuat berdasarkan perancangan tersebut. Walaupun skop dikecilkan dan mungkin ada sukan tertentu tidak disenaraikan, kita tetap menyahut cabaran dan bersedia dengan apa juga sukan yang dipertandingkan. Insya-Allah, kita membawa cabaran terbaik,” katanya selepas Majlis Anugerah Sukan Negeri Terengganu 2024/2025 di sini, semalam.
Ahmad Samsuri mengakui pengurangan skala penganjuran sedikit-sebanyak memberi kesan kepada landskap sukan secara keseluruhan, namun percaya keputusan tersebut dibuat berdasarkan pertimbangan kukuh oleh kementerian.
Menurutnya, fokus utama penganjuran Sukma adalah untuk melahirkan atlet yang berpotensi dan bersedia diuji di peringkat kebangsaan sebelum diketengahkan ke pentas antarabangsa seperti Sukan SEA.
“Penganjuran Sukma sangat penting bagi memastikan kita mempunyai platform untuk menguji atlet sebelum mereka dihantar ke peringkat antarabangsa. Saya percaya kementerian bersama kerajaan negeri akan menentukan sukan yang benar-benar diperlukan bagi menghadapi persaingan di peringkat global,” ujarnya.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufik Johari memaklumkan, Sukma 2026 di Selangor tetap diteruskan, namun dilaksanakan dalam skala lebih kecil sebagai langkah penjimatan. – UTUISAN










