PETALING JAYA: Ketua jurulatih lompatan olahraga negara, Manshahar Abdul Jalil menegaskan tiada sasaran pingat ditetapkan di Terbuka Singapura sebaliknya fokus kepada menilai kekuatan dan kelemahan atlet berdasarkan program latihan.
Menurutnya, kejohanan tersebut yang juga merupakan penampilan pertama bagi musim 2026 tidak dianggap sebagai medan kemuncak prestasi memandangkan atlet masih berada dalam fasa pra pertandingan.
“Ini kejohanan pertama tahun ini. Kita ikut perancangan jurulatih yang telah disasarkan mengikut KPI (petunjuk prestasi utama) masing-masing. Nak kata wajib dapatkan pingat emas itu tidak sebab ini bukan temasya besar,” katanya.
Manshahar turut menjelaskan, pendekatan yang diambil lebih menjurus kepada penilaian prestasi secara menyeluruh, khususnya daripada aspek catatan masa dan jarak yang dicapai atlet.
“Setiap jurulatih menetapkan sasaran bukan daripada segi pingat tetapi lebih kepada catatan masa dan jarak. Daripada situ kita boleh nilai apa kekuatan dan kelemahan atlet.
“Kita tak letak sasaran emas sebab tiada keperluan buat masa ini. Ini lebih kepada proses persediaan untuk kejohanan yang lebih besar di peringkat antarabangsa,” katanya.
Tambahnya, fasa pra pertandingan yang sedang dilalui atlet merupakan fasa penting dalam kitaran latihan sebelum mencapai tahap kemuncak.
“Pra pertandingan ini adalah fasa ketiga sebelum pertandingan sebenar. Ia lebih kepada proses menilai program latihan yang telah dibuat sama ada perlu penambahbaikan atau sebaliknya. Kemuncak atlet adalah pada Terbuka Malaysia, 19 hingga 21 Jun nanti,” katanya.-UTUSAN










