Sze Fei-Izzuddin lengkapkan skuad Piala Thomas - Utusan Malaysia

Sze Fei-Izzuddin lengkapkan skuad Piala Thomas

BARISAN skuad Piala Thomas dan Uber 2026 yang akan berlangsung di Horsens, Denmark pada 24 April hingga 3 Mei ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Teka-teki slot terakhir beregu lelaki akhirnya terjawab apabila gandingan profesional ranking ketujuh dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dipilih melengkapkan skuad negara ke Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark pada 24 April hingga 3 Mei ini.

Keputusan itu menyaksikan pasangan berpengalaman tersebut mengetepikan cabaran sengit daripada Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King yang sebelum ini turut berada dalam pertimbangan untuk mengisi posisi berkenaan.

Pemilihan Sze Fei-Izzuddin dilihat bersandarkan faktor pengalaman dan kestabilan di pentas besar walaupun prestasi semasa mereka di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 tidak begitu meyakinkan.

Langkah tersebut juga memberi bayangan jelas bahawa barisan kejurulatihan mahu mempertaruhkan kombinasi yang sudah terbukti berbanding mengambil risiko mempertaruhkan gandingan muda dalam kejohanan berintensiti tinggi seperti Piala Thomas.

Dengan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun sudah pun mengesahkan tempat lebih awal, kemasukan Sze Fei-Izzuddin melengkapkan tiga beregu lelaki yang akan menggalas cabaran negara.

Dalam sektor perseorangan lelaki pula, Lee Zii Jia akan mengetuai cabaran bersama Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Aidil Sholeh, sekali gus membentuk kombinasi yang dilihat seimbang antara pengalaman dan tenaga muda.

Bagi kem wanita, skuad Piala Uber akan dipimpin oleh Goh Jin Wei dalam acara perseorangan bersama K. Letshanaa, Wong Ling Ching dan Siti Zulaikha Azmi

Dalam beregu wanita pula, kem negara mempertaruhkan Pearly Tan-M. Thinaah, Ong Xin Yee-Carmen Ting serta gandingan muda Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN