Sultan Kedah harap insentif Persekutuan hargai pengorbanan negeri

Sultan Kedah harap insentif Persekutuan hargai pengorbanan negeri

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah pada Istiadat Perasmian Persidangan DUN Kedah, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat ke-15 di Wisma Darul Aman, Alor Setar, Kedah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menzahirkan harapan agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pemberian insentif kewangan kepada negeri ini.

Ia sebagai menghargai pengorbanan besar Kedah dalam memelihara sumber strategik negara.

Baginda bertitah, Kedah telah sekian lama mengekalkan kira-kira 119,000 hektar kawasan tanaman padi serta 160,000 hektar kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda demi kepentingan bersama.

“Kedah terkenal dengan julukan jelapang padi negara. Sejajar dengan usaha memastikan keterjaminan bekalan beras negara, beta amat menyokong pelaksanaan inisiatif penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun di kawasan jelapang padi.

“Bagaimanapun, pengorbanan negeri beta dalam mengekalkan 119,000 hektar kawasan padi dan 160,000 hektar kawasan tadahan air wajar disusuli insentif kewangan oleh kerajaan Persekutuan seperti dimohon kerajaan Negeri Kedah,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah demikian pada Istiadat Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat ke-15, hari ini.

Titah baginda, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) perlu lebih agresif memberi tumpuan kepada pembangunan benih padi yang bermutu tinggi.

Selain penggunaan jentera dan teknologi moden serta turut memperkasa penggunaan Internet of Things yang mampu meningkatkan produktiviti.

Pada masa sama, Sultan Kedah menyarankan agar skim penanaman padi secara estet perlu diperkasakan bagi meningkatkan produktiviti hasil padi dan pendapatan petani yang lebih mampan.

Sementara itu, baginda meminta kerajaan negeri lebih tegas, proaktif dan memelihara kawasan tadahan air termasuk memantau aktiviti-aktiviti haram yang boleh menjejaskan sumber air ketika keadaan cuaca panas.

“Kelangsungan sektor pertanian, perindustrian dan keperluan domestik amat berkait rapat dengan kestabilan sumber air, khususnya dari kawasan hutan tadahan.

“Namun, fenomena cuaca yang semakin tidak menentu termasuk ketidakseimbangan pola hujan dan musim kemarau ketika ini memerlukan pengurusan sumber air yang mampan.

“Selain itu, amalan pertanian yang lebih berdaya tahan serta menambah baik pelan mitigasi risiko bencana secara lebih serius perlu dilaksanakan,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN