SUNGAI PETANI: Sukan Malaysia (Sukma) 2026 yang bakal bermula pada 15 Ogos depan tetap berlangsung meriah walaupun tidak lagi disediakan perkampungan sukan untuk atlet sebagai langkah penjimatan kos dan logistik.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohamed Taufik Johari berkata, pihaknya turut bersetuju dengan tuan rumah iaitu Selangor yang menyediakan penginapan atlet lebih fleksibel, bersesuaian dan berdekatan dengan lokasi venue pertandingan.
“Sukma tahun ini agak berbeza berbanding penganjuran sebelumnya apabila tiada lagi perkampungan atlet seperti mana selalu tetapi kebajikan atlet tetap dijaga melalui pemberian subsidi sebanyak RM100 sehari.
“Ini bagi membolehkan atlet menggunakannya untuk menampung kos penginapan dan makan minum mereka selama berlangsungnya sukan ini yang berakhir pada 24 Ogos,” katanya pada Jamuan Raya Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sungai Petani di Taman Keladi, di sini hari ini.
Kata Taufik, kesemua Majlis Sukan Negeri (MSN) yang akan mengambil bahagian dalam Sukma 2026 telah menerima konsep menjadikan kolej kediaman institusi pengajian tinggi (IPT) yang berhampiran dengan venue pertandingan untuk menempatkan atlet mereka.
“Penempatan lokasi bagi menggantikan perkampungan sukan ini bergantung kepada persetujuan pihak pengurusan kontinjen negeri masing-masing dengan mengambil kira kepada faktor jarak, kesesakan lalu lintas dan kemudahan akses ke venue.
“Keadaan ini akan mampu menjimatkan kos penganjuran namun diharap tidak mengurangkan kualiti sukan dan penganjuran Sukma seperti tahun-tahun sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Selangor telah memberi jaminan semua venue akan disiapkan sepenuhnya menjelang April ini yang kini dalam proses naik taraf kemudahan dan fasiliti agar berada dalam keadaan siap digunakan untuk penganjuran sukan itu,” katanya. – UTUSAN










