PETALING JAYA: Selangor FC (SFC) digesa memanfaatkan aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam ini dengan meraih bekalan selesa sebelum mengharungi perlawanan kedua di Kuching pada 18 April nanti.
Pengendali Selangor, Kim Pan Gon, mengingatkan anak buahnya agar menutup rapat ‘pintu’ kelekaan apabila melayani kunjungan Kuching City dan beliau secara terbuka mengakui bahawa penyakit hilang fokus yang melanda skuad Gergasi Merah masih belum menemui penawar mujarab.
Kebimbingan Pan Gon berpunca daripada rentetan prestasi dalam saingan Liga Super Mac lalu, di mana kelebihan tiga gol Selangor hampir dipadamkan oleh Kuala Lumpur (KL) City sebelum menamatkan aksi dengan kemenangan tipis 3-2.
Situasi itu, meletakkan tekanan tinggi kepada barisan pertahanan untuk mengelakkan episod cemas berulang bagi memastikan misi memburu kejuaraan kali ke-34 kekal ‘bernyawa’.
Lebim membimbingkan, Pan Gon tidak mempunyai masa yang cukup untuk memperbaiki kelemahan itu berikutan beberapa pemain tonggaknya terlibat dengan tugasan antarabangsa bersama skuad kebangsaan pada kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) baru-baru ini.
Kuching City yang turut dikenali dengan taktikal serangan balas pantas mampu menghidu ruang kosong tersebut, malah, Pan Gon menyifatkan lawannya memiliki unit yang serba lengkap dengan keseimbangan di setiap posisi, terutamanya di bahagian tengah dan serangan.
Pertembungan malam ini, nyata bukan sekadar tentang memburu bekalan gol selesa untuk aksi timbal balik, tetapi ia adalah ujian kredibiliti dimiliki Pan Gon.
Keupayaan Selangor untuk mengekalkan fokus selama 90 minit akan menjadi penentu sama ada mereka benar-benar layak digelar pencabar kejuaraan atau sekadar pasukan berbakat yang mudah rapuh di saat-saat akhir.-UTUSAN










