LONDON: Pengendali Chelsea, Liam Rosenior mengakui The Blues kini berada dalam keadaan sukar susulan kekalahan memalukan 0-3 kepada Manchester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris(EPL) di Stamford Bridge, semalam.
Aksi longlai pada babak kedua dihukum skuad kendalian Pep Guardiola apabila dibolosi tiga gol menerusi jaringan Nico O’Reilly, Marc Guehi dan Jeremy Doku, sekali gus menambah tekanan ke atas Rosenior.
Kekalahan itu menyaksikan Chelsea kekal di tangga keenam liga, ketinggalan empat mata di belakang Liverpool dalam perebutan kelompok lima terbaik untuk slot Liga Juara-Juara Eropah.
Lebih membimbangkan, Chelsea kini tewas lima daripada enam perlawanan terakhir dalam semua pertandingan, termasuk tiga kekalahan berturut-turut liga tanpa sebarang jaringan.
“Separuh masa kedua tidak cukup bagus. Ini cerita sama sejak sebulan lalu apabila kami gagal bangkit selepas ketinggalan.
“Menentang pasukan seperti City, anda perlu kekal fokus setiap minit, tetapi kami gagal dan ia menjadi babak kedua yang sangat sukar,” katanya.
Sorakan sinis penyokong di penghujung perlawanan jelas menggambarkan kekecewaan yang memuncak, dan Rosenior sedar tekanan bakal terus memuncak jika keputusan tidak berubah.
“Saya bertanggungjawab sepenuhnya. Usaha tidak kurang, tetapi keyakinan kami merudum pada separuh masa kedua.
“Kami perlu bangkit segera kerana kami berada dalam situasi sukar dan akan berdepan satu lagi perlawanan penting minggu depan,” ujarnya.-AGENSI










