Rekod kebangsaan bakar semangat Izzah hadapi keirin

Rekod kebangsaan bakar semangat Izzah hadapi keirin

Pelumba trek wanita Malaysia, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri ketika beraksi acara pecut wanita pada Kejohanan Trek Piala Dunia di Velodrom Nasional Nilai di sini, hari ini. Gambar ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NILAI: Ratu trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri tekad meneruskan momentum kebangkitan dengan pendekatan lebih berani dalam acara keirin wanita pada Piala Dunia Trek 2026 di Velodrom Nasional, Nilai esok.

Keyakinan baharu itu hadir selepas pelumba berusia 23 tahun itu memecahkan rekod kebangsaan aksi kelayakan pecut individu wanita dengan catatan 10.541 saat (s), sekali gus mengatasi rekod lamanya 10.578s yang dilakar di Piala Negara-Negara Konya tahun lalu.

Lebih manis, pencapaian tersebut menamatkan penantian 13 bulan untuk memperbaharui catatan terbaik peribadi selain menandakan kebangkitan semula prestasinya di pentas elit.

Walaupun langkahnya tersekat di suku akhir selepas tunduk kepada juara dunia dari Belanda, Hetty Van De Wouw, Izzah melihat pengalaman itu sebagai pelajaran berharga untuk meningkatkan mutu perlumbaan.

“Ini antara pencapaian terbesar dalam karier saya kerana bukan sahaja dapat pecahkan rekod kebangsaan, malah berada dalam kelompok tujuh terbaik dunia.

“Walaupun tewas kepada juara dunia, saya belajar banyak dari segi taktikal dan kelajuan, dan ia meningkatkan keyakinan saya untuk kekal konsisten di bawah 11 saat,” kata Izzah kepada pemberita selepas perlumbaan di sini, semalam.

Menurutnya, peningkatan prestasi itu banyak dipacu oleh pendedahan berterusan di kejohanan antarabangsa termasuk pusingan pertama di Perth, Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) serta pusingan kedua di Hong Kong.

Mengulas cabaran keirin, Izzah mengakui pendekatan lebih agresif diperlukan bagi memastikan tidak lagi terperangkap dalam strategi selamat yang merugikan.

“Untuk keirin, saya perlu lebih berani kerana di peringkat dunia kesilapan kecil pun boleh menyebabkan kita tersingkir.

“Pengalaman di Hong Kong membuka mata saya bahawa pemilihan posisi dan reaksi terhadap pergerakan lawan perlu lebih pantas untuk elak pembaziran tenaga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN