Polis kesal penunggang motosikal besar abai aksesori keselamatan

Polis kesal penunggang motosikal besar abai aksesori keselamatan

MOHD. Yusri Hassan Basri (tengah) memotong riben sempena perasmian bilik pameran baharu BMW Chear Motorrad di Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN/ZABRY MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis kesal dengan sikap penunggang motosikal terutama berkuasa tinggi yang mengabaikan pemakaian aksesori keselamatan seperti topi keledar dan jaket keselamatan.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, penunggang motosikal sekiranya terlibat dalam kemalangan jalan raya, tanpa mengenakan sebarang aksesori keselamatan boleh menyebabkan kecederaan parah termasuk kematian.

Menurutnya, sekadar mematuhi keselamatan dan peraturan jalan raya ditetapkan oleh pihak berkuasa tidak memadai kerana motosikal adalah kenderaan yang mudah terdedah kepada kecelakaan.

“Saya terkilan (penunggang abai aksesori keselamatan). Jika berlaku kemalangan, kita ada dua roda sahaja, boleh cedera parah juga kematian.

“Kita (pihak berkuasa) tidak mahu ini berlaku, jadi tunggang dengan hati-hati, ikut arahan serta pakai aksesori lengkap terutama helmet bersesuaian, jaket, seluar dan kasut,” katanya kepada Utusan Malaysia ditemui selepas merasmikan bilik pameran baharu BMW Chear Motorrad di sini, semalam.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kemalangan maut membabitkan motosikal di lebuh raya dan jalan ekspres di seluruh negara menunjukkan peningkatan dengan keseluruhan 2,732 kes direkodkan sepanjang tiga tahun lalu.

Sebanyak 805 kes direkodkan pada 2023, meningkat kepada 860 kes (2024) sebelum melonjak kepada 1,067 kes tahun lalu.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Yusri memberitahu, penunggang motosikal berkuasa tinggi seharusnya menjadi contoh kepada pengguna jalan raya yang lain.

Jelasnya, ini kerana mereka terdiri daripada golongan berlatar belakangkan pelbagai profesion dan kerjaya seterusnya menjadi ikutan dengan cara tunggangan yang lebih baik serta selamat.

“Pastikan anda (penunggang motosikal berkuasa tinggi) mempunyai semangat dan kefahaman yang tinggi terhadap peraturan jalan raya kerana anda berlatarbelakangkan pelbagai profesion, kerjaya.

“Dan jadikan contoh kepada pengguna lain supaya mereka juga dapat memandu dengan lebih baik, juga selamat sampai ke destinasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN