OUDENAARD: Jaguh berbasikal Slovenia, Tadej Pogacar terus membuktikan kehebatannya apabila merangkul kemenangan ketiga di Tour of Flanders, hari ini sekali gus menghampiri detik mencipta sejarah dalam perlumbaan Monument musim ini.
Juara dunia itu tampil dalam kelas tersendiri sepanjang perlumbaan sejauh 278 kilometer (km) apabila meningkatkan tekanan secara berperingkat di laluan berbukit berbatu ikonik Belgium sebelum meninggalkan pencabar utama di fasa penentuan.
Serangan Pogacar di pendakian Oude Kwaremont kira-kira 57km ke garisan penamat hanya mampu diikuti Mathieu van der Poel dan Remco Evenepoel sebelum kedua-duanya akhirnya tewas kepada kayuhan bertenaga pelumba Slovenia itu.
Kemenangan tersebut menyaksikan Pogacar kini mengumpul 12 gelaran Monument, mengatasi rekod Roger de Vlaeminck (11) dan hanya dibezakan tujuh lagi untuk menyamai legenda Eddy Merckx yang memegang rekod 19 kemenangan.
“Ini baru dua daripada lima perlumbaan, jangan terlalu cepat membuat kesimpulan dan saya mahu menikmati kemenangan ini sebelum memberi tumpuan ke Roubaix.
“Saya akan menikmatinya tanpa mengira keputusan kerana motivasi tinggi tetapi tekanan rendah untuk minggu hadapan,” kata Pogacar.
Pogacar yang sebelum ini menjuarai Milan-San Remo kini dilihat calon utama memburu sejarah memenangi keempat-empat atau kesemua lima Monument dalam satu musim, sesuatu yang hanya pernah dicapai Merckx sebelum ini.
Dalam perkembangan sama, Evenepoel turut mencuri tumpuan apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dalam penampilan sulungnya di Flanders, sekali gus memberi bayangan potensi besar dalam perlumbaan klasik berbatu. – AGENSI










