PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan berjaya menangguhkan sementara pembayaran 40 peratus hasil Persekutuan yang layak diberikan kepada Kerajaan Negeri Sabah untuk tempoh 47 tahun (1974-2021).
Ia selepas Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan menangguhkan sementara pelaksanaan sebahagian perintah mahkamah (stay of execution) berhubung semakan kehakiman mengenai isu tuntutan tersebut.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohamed Zaini Mazlan mencapai keputusan sebulat suara selepas berpuas hati keadaan khas telah dibuktikan serta wujud risiko prejudis sekiranya penangguhan tidak diberikan. Keputusan itu juga dibuat tanpa perintah mengenai kos.
Semasa membacakan alasan penghakiman ringkas, Hakim Mohamed Zaini berkata, panel berpandangan terdapat risiko nyata ketidakpatuhan terhadap garis masa yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi, yang disifatkan sebagai membebankan mengambil kira skop dan kerumitan pelaksanaan.
“Selain itu, mahkamah turut menimbangkan perintah yang dipertikaikan mungkin tidak selaras dengan kerangka Perlembagaan di bawah Perkara 112D (peruntukan kajian semula pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak), khususnya berkaitan mekanisme penyelesaian pertikaian.
“Mahkamah menegaskan penguatkuasaan perintah tersebut sebelum rayuan didengar akan menafikan peluang pemohon untuk mengemukakan cabaran terhadap keputusan itu.
“Panel juga mendapati perintah Mahkamah Tinggi tidak konsisten dengan peruntukan Perkara 112D, termasuk keperluan supaya pertikaian dirujuk kepada penilai bebas sekiranya berlaku ketidaksetujuan, berbanding kewajipan membuat bayaran yang dikenakan ke atas pemohon,” katanya yang turut bersidang bersama hakim-hakim Datuk Ismail Brahim dan K Muniandy.
Hakim Mohamed Zaini berkata, panel mengambil maklum perintah tersebut bukan sahaja mengarahkan rundingan, malah mewajibkan pemohon membuat bayaran daripada Kumpulan Wang Disatukan dalam tempoh 180 hari.
Jelasnya, keadaan itu dilihat berpotensi membawa implikasi kewangan yang serius, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi global yang mencabar ketika ini.
“Mahkamah turut menyatakan sebarang semakan di bawah Perkara 112D perlu mengambil kira kedudukan kewangan pemohon berbanding keperluan responden kedua. Namun, garis masa yang ditetapkan didapati mungkin tidak memberi ruang mencukupi kepada pihak-pihak untuk menentukan jumlah sebenar yang perlu dibayar.
“Jumlah bayaran yang diperintahkan adalah besar dan pelaksanaannya sebelum rayuan diputuskan berisiko mewujudkan keadaan fait accompli,” katanya.
Fait accompli merujuk keadaan sesuatu tindakan sudah dilaksanakan sepenuhnya, sehingga walaupun ada cabaran, menjadikannya susah atau tidak bermakna lagi.
Mahkamah juga mengesahkan pemohon tidak berniat untuk melengah-lengahkan prosiding dan telah mengambil langkah bagi mempercepatkan pendengaran rayuannya.
Kerajaan Persekutuan selaku perayu diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi manakala Sabah Law Society (SLS) diwakili oleh peguam, Dr. David Fung selaku responden pertama dan Peguam Besar Negeri Sabah diwakili oleh Datuk Brenndon Soh selaku responden kedua.
Sementara itu, Kerajaan Negeri Sabah menghormati keputusan penangguhan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi untuk menyemak geran khas bagi Tempoh Terlepas serta mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari bagi pembayaran hak Sabah sebanyak 40 peratus.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perintah penangguhan yang diberikan Mahkamah Rayuan selepas membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan itu adalah bersifat prosedural dan mengekalkan status quo sehingga rayuan Kerajaan Persekutuan didengar.
“Walaupun prosiding mahkamah sedang berjalan, adalah diharapkan rundingan akan diteruskan dengan niat baik ke arah mencapai persetujuan dengan kerajaan Persekutuan.
“Ia tidak mengetepikan Perintah Mahkamah Tinggi sedia ada. Walaupun perintah Mahkamah Tinggi untuk mengadakan semakan adalah bagi Tempoh Terlepas [1974-2021], ia tidak seharusnya menghalang semakan bagi tahun-tahun semasa memandangkan kerajaan Persekutuan tidak mempertikaikan formula 40 peratus serta keperluan untuk mengadakan semakan,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan, Kerajaan Persekutuan tidak merayu terhadap formula 40 peratus hasil Sabah, sebaliknya merayu berkaitan sebahagian keputusan Mahkamah Tinggi berhubung tafsiran Perlembagaan Persekutuan.
AGC berkata, rayuan itu melibatkan tafsiran peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan dapatan bahawa kerajaan Persekutuan serta kerajaan Sabah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan perlembagaan sejak 1974.
“Pada 6 April lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan kerajaan Persekutuan untuk menggantung pelaksanaan penghakiman yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025 berhubung kajian semula Pemberian Khas Sabah dari tahun 1974 hingga 2021 sementara menunggu pendengaran rayuan kerajaan Persekutuan di Mahkamah Rayuan.
“Penggantungan ini bagi membolehkan rayuan kerajaan Persekutuan didengar dan tidak menjadi akademik serta sia-sia,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN










