PETALING JAYA: Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K. Rajan mengakui pasukannya masih bergelut di bahagian pertahanan selepas diikat 2-2 oleh DPMM FC dalam aksi liga super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.
Katanya, anak buahnya mencipta banyak peluang dalam perlawanan tersebut, namun gagal memanfaatkan kelebihan itu apabila dibolosi dengan terlalu mudah, sekali gus terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata.
“Secara keseluruhan permainan baik, pemain ikut pelan taktikal dan cipta banyak peluang. Tapi penjaga gol lawan bermain cemerlang. Kami perlu baiki bahagian pertahanan. Dari bahagian tengah dan serangan, semuanya okay,” katanya selepas perlawanan.
Mengulas prestasi semasa, Rajan menegaskan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan adalah perkembangan positif, namun beliau tetap mahu anak buahnya meraih kemenangan.
“Saya gembira tapi saya tetap mahu tiga mata. Empat perlawanan, kami belum kalah, itu petanda baik,” katanya.
Mengulas pertembungan seterusnya menentang Terengganu FC di tempat lawan, beliau menegaskan sasaran tetap jelas dengan memburu kemenangan walaupun sedar cabaran sukar menanti.
“Kami akan pergi ke sana untuk tiga mata. Dalam bola sepak, tiada istilah ‘home’ atau ‘away’ bagi saya,” tegasnya.
Rajan turut memberi peringatan kepada pemain tempatan agar lebih tajam di depan gol, sambil menekankan keperluan peningkatan aspek penyudah dalam latihan.
NSFC dijangka berdepan ujian getir menentang Terengganu FC pada 25 April, dengan momentum lawan yang semakin baik selepas mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Johor Darul Ta’zim FC (JDT).-UTUSAN









