JOHOR BAHRU: Pengendali Terengganu FC, Tengku Hazman Raja Hassan bangga menjadi pasukan pertama dalam Liga Super yang berjaya mencuri mata daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan liga musim ini.
Menurut Tengku Hazman, aksi yang diperagakan skuad Penyu itu perlu diberi pujian setelah mereka bukan sahaja bertahan dengan baik malah memberi ancaman ke kubu lawan sepanjang 90 minit permainan.
Katanya, keputusan seri 1-1 itu lebih manis setelah pasukan kendaliannya turun tanpa beberapa pemain utama namun mampu melaksanakan tugas dengan baik.
“Saya rasa kami amat bernasib baik dalam perlawanan ini kerana kita dapat lihat banyak peluang gol yang dihasilkan JDT namun gagal disudahkan dengan baik.
“Kita juga ada mencipta beberapa peluang untuk mencipta jaringan sepanjang perlawanan. Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan pemain-pemain saya,” katanya.
Beliau berkata, keputusan itu menjadi pembakar semangat buat pasukannya untuk mengharungi baki perlawanan Liga Super dengan menyasarkan untuk berada dalam kelompok lima pasukan terbaik.
“Pemain berjaya mainkan peranan dengan baik apabila bertahan dan menyerang sebagai satu unit selain berjaya menyerap tekanan dengan baik. Jika ikut perancangan asal, kita nak kurangkan jaringan gol JDT sahaja memandangkan kita tidak beraksi dengan kekuatan sebenar.
“Oleh itu, pujian perlu diberikan kepada pemain-pemain muda yang dapat membentuk kombinasi permainan yang baik bersama pemain utama, ini kematangan yang perlu ditonjolkan,” katanya.
Beliau turut memberi pujian kepada penjaga gawang, Rahadiazli Rahalim yang beraksi cemerlang menafikan percubaan jentera serangan JDT dari minit pertama sehingga ke wisel penamat.
“Penjaga gol kita ini baru pulih dari kecederaan dan dia berjaya menjalankan tugas sebagai benteng terakhir dengan baik. Persembahan yang dipamerkan ini menunjukkan dia sudah kembali dapat keyakinan diri di posisi nombor satu,” tambahnya. – UTUSAN










