WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memaklumkan pemimpin Israel dan Lubnan dijadual mengadakan perbincangan pada Khamis, ketika Washington meningkatkan usaha meredakan ketegangan antara kedua-dua negara berkonflik itu.
Menurut Trump, langkah itu susulan rundingan langsung pertama dalam beberapa dekad yang diadakan di Washington pada hari sebelumnya, melibatkan pegawai kanan kedua-dua negara.
Lubnan mula terheret dalam konflik Asia Barat pada 2 Mac selepas kumpulan pro-Iran, Hizbullah, melancarkan serangan ke atas Israel.
Sejak itu, Israel melancarkan serangan balas yang mengorbankan lebih 2,000 orang serta menyebabkan lebih sejuta penduduk Lubnan kehilangan tempat tinggal, di samping tekanan antarabangsa yang berterusan untuk gencatan senjata.
Tentera darat Israel turut dilaporkan memasuki kawasan selatan Lubnan.
“Sedang cuba memberi sedikit ruang bernafas antara Israel dan Lubnan,” kata Trump menerusi platform Truth Social semalam, sambil merujuk kepada rundingan di Washington.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan siapa yang akan terlibat dalam perbincangan tersebut atau butiran lanjut mengenai agenda pertemuan itu.
Seorang pegawai kanan pentadbiran AS berkata, Trump ‘mengalu-alukan’ penamatan konflik antara Israel dan Hizbullah di Lubnan, namun menegaskan ia bukan sebahagian daripada rundingan antara Washington dan Teheran.
“Presiden akan mengalu-alukan penamatan permusuhan di Lubnan sebagai sebahagian daripada perjanjian damai antara Israel dan Lubnan,” kata pegawai itu yang bercakap dengan syarat tidak dinamakan.
“Amerika Syarikat mahu melihat keamanan yang berkekalan, tetapi tidak menuntut gencatan senjata segera,” katanya, sambil menambah bahawa rundingan antara AS dan Iran tidak berkaitan dengan rundingan damai yang sedang berlangsung antara Israel dan Lubnan.
Washington memberi tumpuan kepada usaha membina kepercayaan antara kerajaan Lubnan dan Israel supaya ruang dapat diwujudkan untuk perjanjian damai, dan agar sebarang persefahaman pada masa depan lebih berkekalan.
“Kedua-dua pihak perlu membina momentum politik,” kata pegawai itu lagi.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada Rabu berkata, terdapat dua objektif utama dalam rundingan dengan Lubnan, iaitu pelucutan senjata Hizbullah dan keamanan yang mampan dicapai melalui kekuatan.- AFP









