PETALING JAYA: Jurulatih ragbi tujuh sebelah (7s) negara, Nik Safuan Ismade Nik Man mengakui pasukannya meraih pengalaman berguna selepas muncul juara kategori Plate dalam kejohanan Borneo 7s yang berlangsung di Kota Kinabalu, kelmarin.
Menurutnya, pencapaian tersebut bukan sekadar kejayaan daripada sudut keputusan malah memberi gambaran jelas terhadap tahap sebenar skuad negara apabila berdepan lawan bertaraf antarabangsa.
“Apa yang paling membanggakan saya adalah semangat kesungguhan pasukan. Walaupun kecewa di peringkat suku akhir, pemain tidak terus kecewa. Mereka bangkit dalam perlawanan akhir kategori Plate menentang Fizza Papas dari Belgium.
“Pemain mampu membuat kejutan dan menumbangkan pasukan dari Eropah untuk muncul juara Plate, satu pencapaian yang baik. Ia membuktikan bahawa daripada segi taktikal dan mental, pasukan mempunyai kelas yang tersendiri,” katanya.
Katanya lagi, tahap intensiti tinggi yang dipamerkan pihak lawan memaksa pemain negara bekerja keras di luar zon selesa sehingga setiap kesilapan kecil akibat keletihan mudah dihukum.
“Ini adalah proses pembelajaran yang mahal tetapi penting untuk pembangunan pasukan muda ini,” katanya sambil mengakui cabaran tersebut membuka ruang penambahbaikan yang diperlukan.
Dalam pada itu, Nik Safuan berkata, sasaran utama pasukan untuk mara ke kelompok suku akhir Cup telah berjaya dicapai, sekali gus membuktikan peningkatan positif dalam prestasi keseluruhan skuad.
“Kedudukan keseluruhan di tangga kelima daripada barisan pasukan antarabangsa yang hebat adalah satu peningkatan yang memberangsangkan. Kami pulang dengan trofi juara Plate,” katanya.-UTUSAN










