Neuer jadi benteng kebal, Bayern tumpaskan Madrid di Bernabeu

Neuer jadi benteng kebal, Bayern tumpaskan Madrid di Bernabeu

PENJAGA gol Real Madrid, Andriy Lunin gagal menyelamatkan pintu gawangnya selepas bolos buat kali kedua hasil percubaan penyerang Bayern Munich, Harry Kane yang berkesudahan Bayern menang 2-1 dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Madrid, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Pengendali Bayern Munich, Vincent Kompany memuji aksi cemerlang penjaga gol veteran Manuel Neuer ketika membantu pasukan menewaskan Real Madrid 2-1 pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara, semalam.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Santiago Bernabeu, Bayern mempamerkan aksi dominan menerusi jaringan Luis Diaz dan Harry Kane sebelum tuan rumah merapatkan kedudukan hasil gol Kylian Mbappe.

Namun, aksi tangkas Neuer yang melakukan beberapa penyelamatan penting berjaya mengekang asakan berbahaya Madrid, sekali gus memastikan kelebihan tipis dibawa pulang ke Munich.

Kompany menyifatkan persembahan penjaga gol berusia 38 tahun itu sebagai luar biasa, apatah lagi masih mampu beraksi pada tahap tertinggi.

“Jika dia dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan, saya gembira dengan perkara itu.

“Dalam perlawanan besar seperti ini, anda memerlukan persembahan istimewa dan dia telah membuktikannya,” kata Kompany.

Katanya lagi, pengalaman serta konsistensi Neuer menjadi aset penting buat Bayern dalam mengharungi perlawanan berintensiti tinggi.

“Tidak ramai penjaga gol mampu kekal cemerlang dalam tempoh yang begitu panjang seperti yang ditunjukkannya,” katanya.

Sementara itu, Kane yang menjaringkan gol ke-49 musim ini mengakui Bayern berada di landasan baik, namun mengingatkan rakan sepasukan agar tidak terlalu selesa menjelang aksi timbal balik.

“Kami bermain dengan baik, tetapi kelebihan satu gol tidak menjamin apa-apa. Kami perlu kekalkan prestasi ini,” katanya.

Sementara itu, pengendali Madrid, Alvaro Arbeloa tetap optimis pasukannya mampu bangkit pada perlawanan kedua di Munich.

“Ia bukan keputusan yang kami harapkan, tetapi peluang masih terbuka. Jika ada pasukan yang mampu bangkit di Munich, ia adalah Real Madrid,” katanya.

Arbeloa turut memuji impak pemain tengah Jude Bellingham yang kembali daripada kecederaan dan dilihat semakin mendapatkan rentak permainan.

Aksi timbal balik dijadual berlangsung minggu depan di Munich, dengan Bayern memiliki kelebihan tipis untuk mara ke separuh akhir. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN