MOM kekal hantar kontinjen ke Glasgow dan Aichi-Nagoya

MOM kekal hantar kontinjen ke Glasgow dan Aichi-Nagoya

KONTINJEN Malaysia dalam kedua-dua temasya berkenaan diteruskan kerana lokasi penganjuran yang jauh daripada kawasan konflik serta masih mempunyai akses penerbangan yang selamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kekal dengan pendirian untuk menghantar kontinjen negara ke Sukan Komanwel Glasgow dan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 meskipun ketidaktentuan geopolitik global susulan konflik membabitkan Iran, Amerika Syarikat dan Israel yang masih berlarutan.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Nasir Ali berkata, penyertaan atlet kali ini akan dibuat lebih ketat dengan keutamaan diberikan mereka yang layak secara merit atau pun memiliki potensi pingat.

“Daripada segi penglibatan, kita masih lagi dalam perancangan untuk menghantar kontinjen ke kedua-dua temasya itu. Daripada segi saiz, kita cuba kekalkan tetapi ia lebih kepada berdasarkan kelayakan dan potensi untuk menang pingat.

“Bagi Sukan Komanwel, kita mungkin hantar sekitar 40 hingga 50 atlet termasuk atlet para kerana temasya itu hanya membabitkan 10 sukan manakala Sukan Asia pula anggarannya dalam 300 atlet,” katanya.

Menurut beliau, penyertaan Malaysia dalam kedua-dua temasya berkenaan diteruskan kerana lokasi penganjuran yang jauh daripada kawasan konflik serta masih mempunyai akses penerbangan yang selamat.

“Lokasinya agak jauh daripada peperangan dan aksesibiliti ke sana masih ada menerusi penerbangan yang lebih selamat,” ujarnya.

Bagaimanapun, Nasir mengakui kesan utama konflik tersebut adalah peningkatan kos yang dijangka memberi tekanan kepada perbelanjaan keseluruhan kontinjen negara.

“Yang memberi kesan utama adalah kos. Kos penerbangan akan meningkat berlipat kali ganda. Kos lain seperti penyewaan kenderaan dan hotel juga akan naik susulan kenaikan harga diesel.

“Jika peperangan ini berterusan hingga temasya berlangsung, sudah pasti kos akan menjadi lebih tinggi,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN