PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, dunia menyaksikan ancaman untuk memusnahkan keseluruhan sebuah tamadun yang telah wujud selama ribuan tahun buat pertama kalinya dalam sejarah manusia.
Malah beliau berkata, ancaman untuk memusnahkan sepenuhnya tamadun berusia 3,000 tahun disifatkan sebagai tindakan tidak bertamadun dan mencerminkan kualiti rendah pihak yang mengeluarkan kenyataan itu.
Katanya, dalam sejarah peradaban manusia, sentiasa wujud budaya menghormati dan memelihara tamadun lama, bukan memusnahkannya.
“Perkara yang lama sepatutnya dipelihara. Pemusnahan tinggalan sejarah mencerminkan kualiti rendah sesuatu tamadun,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut Dr. Mahathir lagi, ancaman itu pula dibuat oleh sebuah tamadun moden yang hanya berusia kira-kira 300 tahun, sekali gus memperlihatkan tahap pemikiran dan nilai masyarakat yang mengemukakan cadangan berkenaan.
“Cadangan untuk memusnahkan sepenuhnya tamadun berusia 3,000 tahun jelas menunjukkan tahap ketamadunan yang rendah dalam kalangan pihak yang mengusulkannya,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ancaman yang dikaitkan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump turut memperlihatkan tahap sebenar ketamadunan pihak berkenaan.
“Jelas, mereka sebenarnya adalah golongan yang tidak bertamadun,” tambahnya
Beliau berkata, dalam sejarah peradaban manusia, sentiasa wujud budaya menghormati dan memelihara tamadun lama, bukan memusnahkannya. – UTUSAN










