AUGUSTA: Rory McIlroy muncul juara Kejohanan Masters selepas mengharungi detik cemas di penghujung permainan, sekali gus mencipta sejarah sebagai antara pemain yang memenangi kejohanan berprestij itu dua tahun berturut-turut.
Pemain dari Ireland Utara itu menamatkan saingan dengan catatan 12 di bawah par 276 selepas melakukan pukulan satu di bawah par 71 pada pusingan akhir di Augusta National Golf Club, sekali gus menewaskan bintang No. 1 dunia, Scottie Scheffler dengan kelebihan satu pukulan.
Kemenangan tersebut menyaksikan McIlroy menyertai legenda golf seperti Tiger Woods, Jack Nicklaus dan Nick Faldo sebagai pemain yang pernah menjuarai Masters secara berturut-turut.
“Saya tidak percaya selepas menunggu 17 tahun untuk satu jaket hijau, kini saya berjaya memenanginya dua kali berturut turut.
“Saya rasa segala ketabahan saya di kejohanan ini selama bertahun-tahun akhirnya membuahkan hasil,” kata McIlroy.
McIlroy mencatat rekod Masters dengan mendahului enam pukulan selepas 36 lubang, namun bermain pada paras par sepanjang hujung minggu.
“Hujung minggu yang sukar. Saya melakukan sebahagian besar kerja saya pada Khamis dan Jumaat tetapi saya sangat gembira dapat bertahan dan menyelesaikan tugas ini,” katanya.
McIlroy turut menerima pujian daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menerusi satu hantaran di media sosial yang meraikan kejayaan pemain berusia 36 tahun itu.
“Tahniah kepada Rory McIlroy atas satu lagi kejuaraan hebat di The Masters!. Beliau beraksi dengan cemerlang di bawah tekanan yang sangat tinggi, sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh kebanyakan orang,” tulis Trump. –AGENSI










