DUNGUN: Mara mempertimbang pelaksanaan penjadualan semula bayaran balik pembiayaan dan pendidikan bagi membantu penerima kemudahan agensi itu menstabilkan semula kedudukan kewangan mereka.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan menyedari kesan keadaan ekonomi global yang semakin mencabar dengan ketidaktentuan geopolitik, tekanan rantaian bekalan dan kenaikan kos tenaga.
Beliau berkata, Mara melihat cabaran utu secara menyeluruh melibatkan keseluruhan ekosistem yang banyak menyentuh kehidupan usahawan, penyewa premis, pelajar, pendidik dan institusi pendidikan.
“Sehubungan itu, Mara sedang meneliti beberapa langkah sokongan yang bersesuaian dengan situasi semasa. Antaranya memperluas kemudahan pengurangan kadar sewaan premis kepada usahawan yang terkesan serta menilai pelaksanaan penjadualan semula bayaran pembiayaan bagi memberi ruang kepada mereka menstabilkan kedudukan kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Dungun yang turut dihadiri Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki di sini, hari ini.
Pembinaan MRSM Dungun siap sepenuhnya pada November 2025 dengan pengambilan pertama 300 pelajar tingkatan satu dan empat dibuat 13 Januari lalu.
Ia adalah MRSM ke-58 di seluruh negara.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Mara terus memperkukuh pelaksanaan Program Pendidikan BUDI MARA (BUDI) bagi membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah termasuk pelajar MRSM supaya mereka dapat meneruskan pengajian tanpa kekangan kewangan.
Katanya, langkah proaktif itu penting kerana tidak boleh berkompromi dalam memastikan akses kepada pendidikan berkualiti terus terpelihara dalam apa juga keadaan ekonomi.
“Jika seorang anak MRSM terkesan, seluruh ekosistem Mara mesti bangkit membantunya,” katanya. – UTUSAN











