Malaysia kecam serangan terbaharu terhadap UNIFIL

Malaysia kecam serangan terbaharu terhadap UNIFIL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mengambil tindakan tegas termasuk memastikan perlindungan segera terhadap pasukan pengaman PBB di selatan Lubnan.

Ia ekoran insiden terbaharu rempuhan melibatkan sebuah kereta kebal Israel semalam.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya insiden itu dan menegaskan bahawa semua pihak perlu menghormati sepenuhnya aspek keselamatan, perlindungan dan kebebasan pergerakan pasukan pengaman PBB.

Perkara itu selaras dengan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701 (2006) serta undang-undang antarabangsa berkaitan.

Menurut kenyataan itu, sebarang tindakan yang membahayakan keselamatan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) atau menghalang keberkesanan operasi mereka adalah tidak boleh diterima dan perlu dihentikan serta-merta.

“Malaysia turut mengecam penggunaan kekerasan serta tindakan yang merosakkan aset dan menyekat akses ke kawasan operasi UNIFIL yang dilihat berisiko menjejaskan keupayaan pasukan tersebut melaksanakan mandat secara berkesan termasuk pemantauan di lapangan.

“Sebagai negara penyumbang pasukan pengaman kepada UNIFIL, Malaysia menegaskan komitmen berterusan terhadap misi berkenaan serta mengiktiraf peranan penting operasi pengaman dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Wisma Putra berkata, keselamatan dan perlindungan pasukan pengaman termasuk anggota Batalion Malaysia (Malbatt) kekal menjadi keutamaan utama negara.

Media sebelum ini melaporkan sebuah kereta kebal Israel merempuh kenderaannya di selatan Lubnan, menyebabkan kerosakan dan menyekat pergerakan anggota pengaman di kawasan itu.

Dalam insiden tersebut,  askar Israel dilaporkan menggunakan kereta kebal Merkava untuk melanggar kenderaan UNIFIL dalam dua kejadian termasuk satu insiden yang mengakibatkan kerosakan teruk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN