PETALING JAYA: Kota Setar di Kedah masih mencatatkan suhu pada tahap dua (gelombang haba) iaitu dengan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius, setakat pagi tadi.
Jabatan Meteorologi (METMalaysia) berkata, bacaan suhu maksimum harian di lapan kawasan lain berada pada tahap satu (berjaga-jaga) termasuk Perlis serta beberapa daerah di Kedah iaitu Kuala Muda, Kubang Pasu, Pokok Sena, Pendang, Padang Terap, Sik dan Baling antara 35 hingga 37 darjah Celsius.
Menurutnya, Hulu Perak dan Kuala Kangsar di Perak; Kuala Krai, Pasir Mas, Tanah Merah dan Machang di Kelantan; Maran dan Jerantut di Pahang serta Segamat, Johor turut merekodkan suhu sama.
“Cuaca panas berkenaan dijangka berlaku sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai status cuaca panas harian menerusi laman sesawang rasmi MetMalaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN










