PETALING JAYA: Di sebalik kejayaan Malaysia mara ke suku akhir selepas menewaskan Finland 4-1, kekalahan mengejut Leong Jun Hao, mengundang kritikan peminat terhadapnya pada perlawanan kedua Kumpulan B Piala Thomas di Horsens, Denmark, hari ini.
Pemain No. 25 dunia itu mempamerkan aksi longlai apabila tewas mengejut di tangan pemain yang menghuni ranking ke-60 dunia, Joakim Oldorff 17-21, 15-21 dalam masa 43 minit.
Tumpas kepada wakil Finland pada Piala Thomas, bukanlah kebiasaan yang dilakukan pemain negara, jadi, kemarahan peminat terhadap persembahan Jun Hao sememangnya berasas.
Jun Hao ketika ditemu bual selepas perlawanan tamat berkata, dia kecewa dengan diri sendiri tentang prestasi yang dipamerkannya hari ini
“Saya rasa seperti, tiba-tiba tidak dapat masuk ke dalam (rentak). Saya rasa permulaan tadi sebenarnya agak baik, tapi kemudian tiba-tiba saya rasa seperti ada sesuatu yang salah,” katanya kepada wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Menurut Jun Hao, dia banyak hilang mata selepas melakukan kesilapan sewaktu pukulan balas di jaring dan menyebabkan ketinggalan kepada lawan.
Kekalahan perseorangan lelaki No. 1 negara itu telah menyebabkan skuad kebangsaan ketinggalan 0-1, sebelum Justin Hoh yang diturunkan sebagai perseorangan kedua mengikat kedudukan 1-1.
Justin yang berada di tangga No. 44 dunia tidak berdepan masalah mengetepikan pemain ke-52 dunia, Kalle Koljonen 21-14, 21-12 dalam masa 39 minit.
Pemain profesional negara, Lee Zii Jia meletakkan Malaysia mendahului 2-1 selepas dia menundukkan Ananda Galvani Daniswara 21-19, 21-10 dalam masa 35 minit.
Beregu No. 7 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani memastikan kemenangan Malaysia berada dalam genggaman setelah mengalahkan Eliel Meller-Niilo Nyqvist 21-12, 21-15 dalam masa 23 minit.
Pasangan pecah ganding, Soh Wooi Yik-Tee Kai Wun yang diletakkan sebagai beregu kedua negara tidak bermasalah membenam gandingan Finland yang menghuni ranking ke-1,208 dunia, Ananda-Alvar Melleri 21-7, 21-14 untuk menutup aksi dengan kemenangan 4-1.
Malaysia akan berdepan Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan B bagi menentukan kedudukan sebagai juara dan naib juara. – UTUSAN










