TAMPIN: Keluarga kepada Allahyarham Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24, yang meninggal dunia semalam menyerahkan kes berkenaan sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi dijalankan siasatan.
Bapa anggota tentera itu, Rosafindi Tambi Chik, 49, berkata, apa yang lebih penting ketika ini adalah untuk menuntut keadilan buat Allahyarham.
“Mana bapa yang tak sayang pada anak? Mana yang benar, itulah benar, mana yang tidak benar itu tidak benarlah.
“Buat masa sekarang ini masih rasa berat lagi hendam memaafkan sebab kita masih belum dapat keputusan. Jadi, saya serahkan sepenuhnya kepada pengadilan,” katanya
Dia ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Kelamah, Gemas, di sini hari ini.
Terdahulu jenazah Allahyarham Muhammad Amirul Raziq selamat dikebumikan di tanah perkuburan itu kira-kira pukul 4.30 pagi tadi
Semalam media melaporkan, Muhammad Amirul Raziq meninggal dunia kira-kira pukul 9.40 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang.
Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan serius selepas dipercayai dipukul oleh seorang anggota berpangkat koperal dalam kejadian di Kem Tentera Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja, Bentong, Pahang pada 31 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai memukul, menumbuk dan menendang mangsa di beberapa bahagian badan.
Polis kini membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap suspek berusia 37 tahun yang sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan
Sementara itu, adik mangsa, Ainur Shazwani Rosafindi, 22, berkata, kejadian yang menimpa abangnya amat mengejutkan kerana mereka sempat berhubung melalui panggilan video pada petang hari kejadian.
“Saya cuma mahukan keadilan untuk abang sebab dia seorang yang baik. Petang itu (hari kejadian), kami ada membuat panggilan video dan berbu seperti biasa.
“Namun, apabila berlaku pada belah malam, kami memang terkejut kerana petang itu dia kelihatan ceria seperti biasa,” katanya lagi.
Ainur Shazwani berkata, abangnya sebelum ini memaklumkan akan bercuti selama seminggu serta mereka sekeluarga sudah merancang untuk meluangkan masa bersama.
Tambahnya, pertemuan terakhir mereka adalah pada hari kedua Aidilftri sebelum Allahyarham Muhammad Amirul Raziq dihantar pulang semula ke kem oleh bapanya.
“Selepas ibu meninggal dunia lapan tahun lalu, along seperti ibu kepada kami. Dia akan selalu bertanya khabar dan ambil berat tentang kami semua,” katanya. – UTUSAN










