JOHOR BAHRU: Kontinjen Johor optimis untuk merampas kembali gelaran juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) pada temasya SUKMA 2026 di Selangor pada 15 hingga 24 Ogos depan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, semua persatuan sukan di bawah Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) telah membuat persiapan rapi selepas berakhirnya SUKMA Sarawak, dua tahun lalu.
Beliau berkata, Johor bakal menjadi salah satu kontinjen terbesar pada SUKMA XXII dengan membawa kira-kira 800 atlet dan pegawai bagi menggalas misi membawa pulang pingat emas yang disasarkan.
“Johor pernah muncul juara keseluruhan pada temasya SUKMA di Kuala Lumpur pada 2022 setelah menuai 77 pingat emas, dan kita bertekad untuk mengulangi kejayaan tersebut.
“Pada edisi SUKMA 2024 di Sarawak, kontinjen Johor berada di tempat keenam setelah membawa pulang 35 pingat emas, jadi sasaran kita untuk edisi ini adalah lebih daripada itu.
“Daripada segi persiapan atlet, boleh dikatakan kita sudah hampir ke fasa akhir, pastinya kita sudah bersiap siaga untuk memastikan kontinjen Johor muncul kontinjen terbaik. Insya-Allah, kita boleh dapat lebih daripada 77 pingat emas,” katanya.
Mohd. Hairi berkata, kerajaan Johor menyambut baik titah perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya penganjuran SUKMA XXII diteruskan dengan secara berhemah.
Katanya, kerajaan negeri telah bersedia apabila Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini telah mengumumkan peruntukan RM7.5 juta untuk persiapan SUKMA 2026 pada pembentangan Belanjawan tahun lalu.
“Dari segi penginapan dan sebagainya, kita tunggu keputusan mesyuarat, esok oleh Menteri Belia dan Sukan bersama Exco-exco sukan dari seluruh negara, apa kesiapsiagaan tuan rumah dan sebagainya.
“Insya-Allah pada Isnin ini, ada pengumuman khas daripada Menteri Besar Johor buat atlet, jurulatih dan juga staf sokongan untuk SUKMA 2026. Mungkin ada insentif buat mereka sebagai suntikan semangat untuk menuai pingat,” katanya.-UTUSAN










