PETALING JAYA: “Jika dunia tahu betapa kuatnya saya berjuang demi cinta kita.”
Demikian kata bekas kekasih pelakon, Emma Maembong, Dj Kidd yang menyatakan betapa kuat perjuangannya dalam mempertahankan hubungan cinta yang didakwa ditujukan kepada aktres itu.
Menurut Kidd, meskipun kisah percintaannya bersama Emma sudah menjadi sejarah, memori itu kekal indah dalam hidupnya.
“Apa sahaja yang membuatkan dia bahagia, itulah perkara terbaik yang pernah berlaku dalam hidup saya,” katanya di Threads.
Terdahulu, Emma dalam sebuah sesi temu bual meluahkan rasa terkilannya terhadap tindakan bekas kekasihnya itu mengumumkan berita perpisahan mereka kepada umum.
Kata pelakon drama Kerana Cinta Itu Dusta tersebut, dia kurang selesa apabila kisah peribadinya menjadi sorotan ramai.
Bagaimanapun, ibu kepada dua orang anak itu memaklumkan hubungannya dengan bekas kekasihnya masih dalam keadaan baik.










