JDT buktikan bukan lagi 'jaguh kampung', kini penanda aras Asia

JDT buktikan bukan lagi ‘jaguh kampung’, kini penanda aras Asia

PEMAIN Tengah Al-Ahli, Franck Kessie menanduk bola ke gawang JDT dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elite di Stadium King Abdullah Sports City, kelmarin.-IHSAN FB AL-AHLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi membuka mata peminat dan pengurusan bola sepak tempatan apabila mempamerkan aksi ‘melawan’ ketika tunduk 1-2 kepada Al-Ahli dalam suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elite, kelmarin.

Meskipun pertembungan yang dianggap bagai langit dan bumi berikutan kelab gergasi Arab Saudi itu memiliki nilai pasaran sebanyak RM806 juta berbanding wakil Malaysia tersebut yang jauh ketinggalan dengan hanya bernilai RM64 juta.

Statistik perlawanan membuktikan bahawa skuad Harimau Selatan bukanlah sekadar pelengkap, malah berjaya memberikan tentangan yang cukup sengit kepada Al-Ahli yang dibarisi bintang dunia seperti Riyad Mahrez, Edouard Mendy, Enzo Millot dan ramai lagi di Stadium King Abdullah Sports City.

Dominasi skuad Harimau Selatan yang melebihi sedekad dalam liga utama tempatan, selain muncul lapan pasukan terbaik Asia bukan lagi sekadar naratif kemegahan satu pasukan, tetapi satu penanda aras baharu yang wajib dicontohi kelab-kelab Liga Malaysia (Liga M) jika mahu Malaysia dipandang di peringkat antarabangsa.

Kejayaan JDT seharusnya dilihat sebagai inspirasi, bukannya ancaman, malah budaya ‘dengki’ dan mentaliti menjatuhkan sesama sendiri hanya akan merugikan ekosistem bola sepak negara.

Jika benar mahu melihat Jalur Gemilang berkibar megah di pentas dunia, standard liga tempatan perlu dinaikkan secara menyeluruh bukanlah sekadar selesa di tahap sederhana.

Sebagai rekod, JDT merupakan kelab Malaysia pertama yang berjaya memecah tembok suku akhir kejohanan elit Asia, sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai kelab terbaik di Asia Tenggara (ASEAN).

Kemaraan ke suku akhir ACLE menyaksikan JDT difahamkan bakal meraih ganjaran lumayan mencecah AS$1.8 juta (RM8.5 juta).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN